Kajian eksplorasi angkasa adalah sesuatu yang menarik – apatah lagi dengan sasaran manusia menjejak kaki ke planet selain Bumi dalam tempoh kurang 10 tahun lagi.
Disamping berkaitan planet Marikh, kini saintis turut berkongsi berkenaan penemuan menarik melibatkan planet Utarid. Mengikut kajian, ia dijangka permukaan planet Utarid dipenuhi dengan berlian.
Ia dikatakan tekanan gelombang daripada asteroid dan komet yang menghentam permukaan planet berkenaan boleh mengubah grafit kepada berlian. Ini sekaligus mungkin membuatkan permukaan planet tersebut dipenuhi dengan berlian.
Utarid merupakan planet yang paling hampir dengan matahari, dan antara yang terkecil di dalam sistem suria. Disebabkan jarak dengan matahari, ia membuatkan suhu di Utarid tinggi mencapai sekitar 426 darjah Celcius.
Informasi ini turut memperlihatkan yang mana kandungan karbon dalam bentuk grafit pada permukaan planet tersebut, boleh berubah menjadi berlian selari dengan suhu yang tinggi, dan penghentaman komet-komet di sistem suria.
Mengikut jangkaan, mungkin terdapat sekitar 16 kuadrilion (1000 trilion) tan di planet berkenaan.
Walaubagaimanapun, berlian di planet berkenaan bukan kelihatan seperti barangan kemas di Bumi disebabkan oleh campuran grafit, dan pelbagai variasi karbon padanya.
Buat masa ini, ia masih sukar untuk melakukan eksplorasi ke planet Utarid – tetapi perkara berkenaan mungkin berubah tidak lama lagi. Beberapa misi dirancang ke planet berkenaan, termasuk oleh agensi angkasa Jepun dan juga Eropah – disasaarkan menjelang awal 2025 kelak.