Vaksin Pfizer Berjaya Digunakan Untuk Memulihkan Pesakit Covid Buat Pertama Kali

Diterbitkan pada Mac 22, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Secara lazimnya vaksin diberikan sebelum seseorang diserang penyakit yang cuba dicegah. Ini adalah sebab utama berbilion dos vaksin Covid-19 telah diberikan ke seluruh dunia sebagai langkah membendung penyakit yang boleh membawa maut ini. Di Wales, Ian Lester telah menjadi manusia pertama yang berjaya dipulihkan dari Covid menggunakan vaksin Pfizer.

Lester menghidap sindrom Wiskott-Aldrich yang menyebabkan sistem pertahanan tubuh beliau terjejas. Pada tahun 2020, beliau telah dijangkiti Covid-19 tetapi selepas sebulan tidak lagi menunjukkan sebarang gejala. Tetapi kerana sindrom Wiskott-Aldrich, beliau masih menunjukkan keputusan ujian positif yang menyebabkan beliau terpaksa mengasingkan diri selama lapan bulan sehingga kehilangan kerja.

Covid Vaksin

Saintis dan doktor dari Cardiff University dan Hospital Wales memantau perkembangan beliau yang mempunyai kes yang unik. Pada musim panas lalu beliau diberikan suntikan vaksin Pfizer sebagai langkah untuk merawat. Dalam masa 14 hari selepas vaksin diterima, tubuh beliau menunjukan peningkatan sel-T yang menentang jangkitan dengan jumlah virus Covid-19 pada bahagian tekak mencatatkan penurunan 64 kali ganda.

Ini ialah kesan yang menakjubkan kerana pesakit Wiskott-Aldrich tidak mempunyai kemampuan untuk menghasilkan sel-T dengan baik tanpa bantuan. Di penghujung April 2021, selepas 72 hari menerima suntikan vaksin kedua, dua dos Pfizer dan 218 hari berterusan positif beliau akhirnya disahkan negatif dari Covid-19.

Penyelidik kini percaya memberikan suntikan vaksin Pfizer boleh membantu insan lain yang mempunyai sistem pertahanan tubuh yang terjejas. Dalam kes Lester, vaksin pertama kalinya berjaya digunakan untuk merawat dan bukannya mencegah Covid-19 sekaligus membuka ruang kepada rawatan lebih murah berbanding menggunakan ubat retro-viral yang sudah mula ditawarkan sekarang.

komen


© Amanz / 2022 Kami