Cari @ Amanz

Apabila Microsoft melancarkan sistem operasi Windows 11 pada tahun lepas, ia hadir dengan sejumlah spesifikasi yang perlu dituruti sebelum ia boleh dipasang pada sebuah komputer. Diantaranya ialah keperluan untuk komponen Trusted Platform Module yang memastikan sistem operasi dan komputer tersebut selamat daripada digodam dengan mudah.

Walaupun begitu, oleh kerana desakan pengguna, Microsoft telah mengurangkan keperluan tetapan ini dan membenarkan lebih banyak pengguna untuk memasang sistem operasi tersebut pada komputer yang tidak mempunyai komponen yang sepatutnya.

Microsoft kini dilihat menguji sebuah fungsi baru melalui program Windows Insider mereka yang memperlihatkan tanda air (watermark) sekiranya komputer tersebut tidak menepati spesifikasi rasmi Microsoft untuk menggunakan sistem operasi tersebut.

Menurut laporan Tom’s Hardware, tanda air tersebut akan dilihat pada dua bahagian, satu dalam tetingkap menu sistem komputer, dan satu lagi di bahagian penjuru bawah dimana tanda air Activate Windows secara lazimnya akan kelihatan.

Mereka juga mengatakan bahawa kemaskini tanda air ini akan diperkenalkan untuk sistem operasi Windows 11 versi penuh tidak lama lagi, dan akan diperlihatkan pada komputer-komputer yang menggunakan sistem operasi tersebut dalam kemaskini akan datang tidak lama lagi.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd