Adakah anda mencari jam tangan mekanikal yang nipis untuk dipakai? Sekiranya ya, Bulgari Octo Finissimo Ultra ialah jam impian anda kerana hanya setebal 1.8mm. Ini menjadikannya jam tangan mekanikal paling nipis di dunia. Bagi mencapai kenipisan melampau ini, paparan jam, minit dan saat diasingkan.

Pada bahagian muka terdapat kod QR yang diukir terus pada gear mekanikal yang berputar. Sekiranya diimbas pemilik akan dipaparkan video pembuatan jam tangan dan pelbagai maklumat mengenai Bulgari Octo Finissimo Ultra. Kerana jam terlalu nipis, ia memerlukan bekas simpanan khas yang mengunci semula gelung kuasa (sehingga 60 jam) dan untuk mengubah paparan masa.

Hanya 10 utas Bulgari Octo Finissimo Ultra akan dijual dengan setiap satunya hadir dengan NFT yang tersendiri bagi menjadikannya lebih ekslusif. Bagi yang berminat jam dijual pada harga €400,000 (~RM1.8 juta) seutas.