Cari @ Amanz

Walaupun NVIDIA tidak berjaya mengambil-alih Arm, ia tidak bermakna bahawa mereka telah mematikan cita-cita untuk membangunkan cip Arm mereka sendiri. Malah, mereka baru sahaja mengumumkan ketibaan NVIDIA Grace CPU Superchip, iaitu cip pemprosesan Arm pertama mereka, iaitu NVIDIA Grace CPU Superchip.

Menggunakan cip pemprosesan Arm v9, cip pemprosesan ini hadir dengan rekaan dwi-cip yang disambungkan dengan teknologi sambungan NVLink-C2C yang juga baru dibangunkan. Ia hadir dengan sebanyak 144 teras fizikal dan menyokong teknologi-teknologi perkomputeran terbaru seperti memori DDR5, HBM3, CCIX 2.0 dan juga CXL 2.0.

NVIDIA mengatakan bahawa Grace CPU Superchip ini tampil dengan prestasi 1.5 kali lebih hebat berbanding dengan dua cip 64 teras AMD EPYC yang lalu melalui ujian penanda-aras SPEC, dan hadir dengan penggunaan kuasa dua kali lebih cekap berbanding dengan cip-cip pemprosesan pusat data hari ini.

NVIDIA menjangkakan bahawa cip pemprosesan untuk adikomputer dan pusat data ini akan digunakan untuk aplikasi-aplikasi seperti perkomputeran hiperskala, perkomputeran awan, analisa data, perkomputeran berprestasi tinggi, kecerdasan buatan dan industri-industri lain yang memerlukan kuasa sebuah adikomputer.

Cip pemprosesan Grace CPU Superchip ini akan mula dipasarkan ke pelanggan-pelanggan industrial bermula 2023 kelak.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd