Deebot X1 Omni Dan X1 Turbo Kini Di Malaysia – Hadir Dengan Stesen Pembersihan Dengan Harga Bermula RM4,399

Diterbitkan pada Mac 23, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Ecovacs adalah syarikat yang mengeluarkan produk vakum seperti Deebot. Produk mereka yang terkenal adalah robot vakum Deebot yang pernah kami uji di makmal Amanz. Saya juga pernah menggunakan robot vakum ini di rumah selama hampir dua tahun sebelum menggantikannya dengan Roborock.

Terkini untuk pasaran Malaysia, Ecovacs telah memperkenalkan dua robot vakum baharu iaitu Deebot X1 Omni dan Deebot X1 Turbo. Kedua-dua robot vakum ini sedia hadir dengan dermaga pengecasan tersendiri merangkap ‘stesen’ pembersihan.

X1 Omni hadir dengan kemampuan membersihkan tangki habuk, tangki air, mengisi semula air, membersihkan kain mop dan beg habuk dianggarkan boleh bertahan sehingga 60 hari. Manakala X1 Turbo ada semua kecuali pembersihan tangki habuk. Omni juga mampu membersihkan kain mop dengan udara panas, tetapi Turbo dengan udara sejuk yang mengambil masa sedikit lebih lama untuk dikeringkan. Saiz tangki tadi adalah 4 liter untuk air bersih dan air kotor.

Seperti kebanyakan robot vakum sekarang, kedua-dua robot ini menyokong kuasa sedutan 5000Pa. Ia cukup kuat untuk melakukan kerja-kerja pembersihan lantai. Kerja mengemop pula, robot ini tiada masalah membersihkan kotoran degil kerana sistim Ozmo Turbo 2.0 yang berpusing pada kadar 180 rpm seminit.

Ecovacs turut menyertakan sokongan TrueMapping 2.0 dengan sistem kecerdasan buatan 3D AIVI yang dipadankan dengan sensor RGB yang boleh melakukan proses pengimejan HDR. Melaluinya mereka mendakwa masa pembersihan boleh jimat sebanyak 25% berbanding pesaing. Menjadikan robot vakum ini lebih pintar adalah, ia menyokong pembantu digital tersendiri Yiko dan turut boleh diintegrasikan dengan Google Assistant untuk kawalan arahan suara.

Robot ini turut dijana dengan cip pemprosesan tersendiri iaitu Horizon GAI untuk kuasa kecerdasan buatan dalam kebijaksanaan membuat peta yang pantas dan mengelak halangan.

Deebot X1 Omni dijual di Malaysia pada harga RM7,999, manakala Deebot X1 Turbo pula pada harga lebih murah RM6,999. Sempena promosi pelancaran, Omni boleh didapati pada harga RM4,999 dan Turbo pula RM4,399. Jualan bermula 26 Mac ini sehingga 27 Mac di Shopee rasmi Ecovacs.

komen


© Amanz / 2022 Kami