Nothing Mengumumkan Nothing Phone (1) Dan Nothing OS – Akan Tiba Musim Panas 2022

Diterbitkan pada Mac 23, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Nothing iaitu syarikat yang dibangunkan oleh bekas pengasas bersama OnePlus, Carl Pei hari ini telah mengadakan acara keynote pertama mereka untuk tahun 2022 yang dinamakan sebagai The Truth. Dalam acara ini mereka telah mendedahkan perancangan mereka untuk sepanjang tahun 2022. Selepas menerima pembiayaan sebanyak $70 juta (~RM295 juta) dalam fasa Series B daripada EQT dan C Venture, mereka akhirnya bersedia mendedahkan apa yang mereka telah lama rancang. Jadi apakah seterusnya selepas TWS Nothing Ear (1) dilancarkan tahun 2021?

Nothing telah memperkenalkan ekosistem tersendiri yang mana setiap produk mereka boleh digunakan di antara satu sama lain dan sentiasa berhubung. Produk pertama yang mereka dedahkan adalah Nothing Phone (1), telefon pintar pertama mereka. Nothing berharap telefon pintar mereka ini boleh membantu mengubah industri telefon pintar.

Peranti ini akan menjalankan sistem operasi Nothing OS berasaskan Android. Nothing OS akan menawarkan 3 tahun kemaskini sistem operasi dan 4 tahun kemaskini sekuriti. Sistem operasin ini turut menggunakan rekaan antaramuka, ikon dan banyak lagi secara tersendiri yang ringkas, pintar dan interaktif. Dalam sistem operasi ini ia mempunyai kesan bunyi dan nada dering berasaskan bunyi-bunyi daripada teknologi vintaj seperti kod morse. Carl Pei turut menjanjikan sistem operasi mereka bebas daripada aplikasi gendut. Nothing OS turut menawarkan ekosistem terbuka untuk memudahkan pengguna menggunakan produk daripada syarikat lain bersama-sama dengan peranti mereka. Contohnya akses pantas kawalan TWS terus daripada talam notifikasi.

Widget jam pula akan kekal di posisi yang sama tidak kira pada kunci skrin atau pada AOD konsisten. Ini adalah untuk ia kekal kemas dan kelihatan sentiasa menarik. Animasi lancar turut akan digunakan untuk memberi pengguna pengalaman pengguna yang mengasyikkan. Carl Pei turut mengacah yang peranti mereka besar kemungkinan akan hadir dengan skrin kadar segar semula tinggi. Selain daripada dijana dengan cip pemprosesan daripada Snapdragon.

Sebelum melancarkan Nothing Phone (1) pada musim panas tahun 2022, mereka akan melancarkan pelancar untuk peranti Android Nothing Launcher terlebih dahulu untuk peminat menikmati rasa apa yang cuba mereka tawarkan.

Tidak ada spesifikasi peranti yang jelas selain daripada logo peranti. Sistem operasi mereka juga masih sedang dibangunkan lagi. Tetapi antara rakan kerjasama mereka adalah Google (sistem operasi), Samsung dan Sony (mungkin sensor kamera), Qualcomm untuk cip, dan sensor pengimbas cap jari daripada Visionox.

Untuk menjayakan projek Phone (1) mereka, Nothing turut membuka peluang orang awam melabur kepada syarikat mereka. Kini dengan kuota sebanyak $10 juta dibuka. Sama-sama kita nantikan untuk maklumat lanjut pelancaran mereka.

komen


© Amanz / 2022 Kami