Tahun ini Apple menggandakan usaha mereka untuk meningkatkan pengguna sistem operasi macOS dengan beberapa penawaran menarik seperti Mac Studio dan MacBook dengan cip M1. Terkini menurut penganalisa skrin Ross Young menerusi laporan terkini Display Supply Chain Consultants, Apple sedang mempertimbangkan untuk mengeluarkan MacBook Air dengan skrin 15″ dan iPad biasa dengan skrin lebih besar seawal 2023.

Selain itu MacBook Air yang kini ditawarkan dengan skrin 13.3″ akan dipertingkatkan dengan skrin sehingga 14″. Ini pastinya dilakukan dengan bezel yang lebih nipis berbanding yang digunakan pada komputer riba sedia ada. Berkenaan iPad pula, saiz lebih besar berbanding 10.2″ mungkin ditawarkan seperti mana iPad Pro ditawarkan dengan skrin 12.9″.