Ulasan Oppo Enco Air2 – TWS Yang Ringan Dan Selesa

Diterbitkan pada Mac 24, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Satu demi satu pengeluar telefon pintar muka mempunyai keberanian dengan tidak menyertakan lagi bicu audio 3.5mm pada peranti mereka. Tahun ini kita dapat melihat Samsung pula mengikuti jejak Apple dengan bicu tidak lagi wujud pada siri Galaxy A yang selama ini serba lengkap. Pengguna kini tidak mempunyai pilihan selain berhijrah ke dunia aksesori TWS.

Oppo Enco Air2 ialah TWS terkini mereka yang lebih mampu milik berbanding siri Enco X. Beberapa ciri mercu seperti pengecasan nirwayar dan pembatalan hingar tidak disertakan menimbulkan persoalan adalah harga lebih murah ini turut membuatkan Air2 kurang berbaloi? Jawapannya di akhir artikel.

Spesifikasi

Oppo Enco Air2
JenisTWS rekaan terbuka
Pemandu13.4mm
Mikrofon2 mikrofon
Bateri4 Jam/ 24 jam dengan pod
Port pengecasUSB-C
PengecasanBerwayar USB-C
CODECAAC, SBC
Sistem operasi disokongSemua
Sokongan pembantu mayaYa
Pad sesentuhYa 2X
Kemampuan kalis airIPX4
BluetoothBelutooth 5.2
Jeda audio bila ditanggalkanTiada
Pengimbas nadiTiada
Harga Jualan RM 249

Tiada perbezaan dapat dilihat di antara Enco Air dan Enco Air2 dari segi rekaan. Putik telinga tradisional dengan satu lohong menembak ke depan dan satu lagi ke sisi digunakan di sini. Apabila dipakai pada telinga ia amat selesa kerana tiada putik silikon menerjah ke rongga telinga. Enco Air tersemat dalam telinga dengan baik walaupun kepala digelengkan dengan laju semasa mendengar lagu Dimmu Borgir sekalipun. Jika anda peminat Taylor Swift, Asmawi World dan Raihan tidak perlu risau fon telinga ini tercicir dari telinga.

Cuma rekaannya amat mirip dengan Apple EarPods yang klasik. Kami tidak mempunyai masalah dengan rekaan pelanduk dua serupa ini kerana asalkan ia selesa ketika digunakan perkara lain boleh dicampak ke tepi.

Dua pad sesentuh diletakkan pada sisi tangkap plastik. Terdapat “parit” kecil yang mudah dikesan dengan hujung jari bagi menunjukkan lokasi pada sesentuh. Secara keseleruhan rekaan putik telinga adalah ergonomik walaupun tubuh plastiknya agak licin. Dengan hanya sekitar 40 gram pula, ia hampir tidak dapat dirasakan apabila diletakkan pada telinga.

Pada sesentuh boleh mengesan dwi, tri dan tap selama beberapa saat. Antara kawalan yang boleh dilakukan ialah menjeda muzik, melangkau muzik, menyeru pembantu maya dan mengubah kekuatan bunyi. Untuk mengubah tetapan pad sesentuh aplikasi HeyMelody perlu dimuat turun terlebih dahulu. Mengubah tetapan lain Air2 juga memerlukan aplikasi yang sama.

Yang mencuri perhatian ialah rekaan pod pengecas yang lutsinar pada bahagian penutup. Rekaan ini telahpun digunakan pada Enco Air asal dan adalah inovasi yang perlu dikembangkan ke TWS lain di pasaran. Kami malas ingin membuka penutup untuk melihat sama ada kedua-dua telinga ada di dalam pod simpanan. Dengan rekaan ini sekilas pandang sahaja kandungan pod dapat dilihat.

Bahagian penutupnya juga terasa premium walaupun diperbuat daripada bahan plastik lutsinar. Tubuh pod pengecas ini juga tidak berkilat dengan kemasan yang agak kasar. Kotoran tidak mudah melekat dan ia lebih tahan lasak berbanding kemasan berkilat pada AirPods Gen 3 dan Galaxy Buds2 kami yang sudah mula calar balar walaupun disimpan dalam beg sepanjang masa.

Tiada butang fizikal untuk melakukan padanan manual kepada peranti baru disertakan. Mod tambatan diaktifkan sebaik sahaja bahagian penutup Air2 dibuka. Sebuah lampu LED diletakkan di hadapan untuk menunjukan tahap pengecasan bateri.

Kerana rekaan terbuka, Air2 langsung tidak menyokong sebarang sistem pembatalan hingar apatah lagi mod tembus. Bagi mengurangkan kos ciri premium ini tidak disertakan. Tetapi tidak perlu bersedih kerana Air2 masih mempunyai kemampuan kalis air IPX4 yang membuatkannya masih sesuai digunakan ketika bersenam asalkan anda tidak terus terjun ke dalam laut seperti Pamela Anderson dalam siri Baywatch.

Spesifikasi lain ialah sokongan codec SBC dan AAC sahaja. Sistem bluetooth 5.2 turut disertakan dengan masa pendam rendah dengan mengaktifkan mod gaming.

Penggunaan

Penggunaan adalah sedikit leceh kerana tiadanya sokongan Google Fastpair. Sistem tambatan pantas Flash Connect hanya diberikan kepada peranti pintar keluaran Oppo. Proses menambat adalah lebih perlahan pada peranti Android dan iOS. Buka penutup pod simpanan dan cari Oppo Enco Air2 pada senarai peranti bluetooth berhampiran. Selepas itu untuk melakukan kustomasi pad sesentuh, kemas kini firmware, mod gaming dan equaliser pengguna perlu memasang aplikasi HeyMelody. Pada komputer Windows dan macOS pula proses menambat adalah sama seperti pada peranti Android.

Pada Android ini adalah mudah kerana aplikasi boleh dimuat turun dari Play Store. Pada iOS proses menjadi sukar kerana HeyMelody belum dikemaskini ke versi terkini. Akibatnya Air2 masih tidak disokong dan dikenalpasti oleh iPhone walaupun ia tiada masalah untuk ditambat menggunakan bluetooth. Air2 telah dilancarkan Februari lalu maka tidak boleh dimaafkan aplikasi iOS belum dikemaskini.

Air2 ialah fon telinga nirwayar yang agak asas. Tiada sensor mengesan apabila ia ditanggalkan dari telinga untuk menghentikan muzik dan menyambungnya semula apabila dipakai kembali. Tiada juga sebarang sistem kompleks yang meredam bunyi bising persekitaran. Kami melihatnya di dalam kelas yang sama seperti AirPods Gen 3 tetapi pada harga yang lebih mampu milik.

Putik telinga mudah dicabut keluar dari pod pengecas tetapi masih mempunyai sambungan magnet yang kuat untuk mengelakkan dari terjatuh walaupun diterbalikkan dan digoncang dengan kuat. Selepas menjalani proses tambatan pertama kali yang agak leceh, proses menggunakan Air2 adalah mudah. Semudah menghirup udara masuk ke dalam paru-paru sekiranya anda sihat dari penyakit kardiovaskular.

Kualiti Audio dan Mikrofon

Kualiti audio adalah lebih baik dari yang kami sangkakan. Lantang, jelas, rangup dengan prestasi audio yang agak mantap untuk TWS bawah RM300 sepasang. Mulakan dengan perkara positif terlebih dahulu. Mendengar muzik rock, pop, klasik dan pod siar sangat memuaskan. Audio adalah jelas tanpa ia berkecamuk pada tetapan audio yang paling tinggi.

Treble adalah baik untuk kelasnya. Kami penggemar muzik akustik dan setiap petikan gitar Kurt Cobain kedengaran cukup jela ketika mendengar album Nirvana Unplugged In New York. Soundstage juga bagus kerana fon telinga tidak menyumbat lubang telinga. Pemakaian untuk masa yang lama tidak mendatangkan ketidakselesaan.

Bass juga boleh tahan sekiranya anda peminat muzik EDM dan hip hop moden. Kami merasakan Air2 paling sedang digunakan untuk mendengar berbanding muzik lain kerana profil audionya yang seimbang. Pujian yang boleh kami berikan ialah prestasi audio Air2 adalah setanding dengan AirPods Gen 2 yang dijual pada harga RM829 dan tidak dibantai teruk sekiranya dibandingkan dengan Galaxy Bud2 yang dijual pada harga RM499.

Yang dibantai teruk ialah kemampuan menghalang bunyi luar dari menerjah telinga kerana tidak dilengkapi sistem pembatalan hingar aktif (ANC). Naikkan sahaja kelantangan muzik ke maksimum jika audio dari luar mengganggu anda. Prestasi mikrofon juga baik-baik sahaja. Memadai untuk melakukan panggilan telefon dan telesidang di rumah asalnya anda tidak berada di tempat yang angin bertiup kencang.

Mod gaming yang dikatakan boleh merendahkan masa pendam ke 94ms masih lagi tidak cukup pantas untuk permainan FPS seperti COD Mobile. Bunyi tembakan masih lagi lewat didengari selepas picu senjata ditekan. Kami tidak sarankan Air2 untuk digunakan dalam permainan yang pantas.

Bateri

Bateri diiklankan boleh bertahan selama 4 jam dengan sekali caj dan bertambah ke 24 jam dengan bantuan pod pengecas. Sepanjang tempoh ulasan, kami mampu mendapatkan hayat penggunaan sekitar 5 jam untuk setiap sesi sekiranya audio diletakkan pada tahap lebih sederhana. Proses mengecas semula Air2 adalah sekitar 2 jam menerusi port USB-C. Tiada sokongan nirwayar diberikan tetapi ini satu lagi ciri yang dibuang bagi mengurangkan harga jualan.

Dalam Kotak

Berikut ialah apa yang diterima dengan setiap pembelian Oppo Enco Air2 di Malaysia.

  • 1x Oppo Enco Air2.
  • 1x Manual.

Kesimpulan

Walaupun dijual pada harga yang agak murah, kualiti audio Oppo Enco Air2 adalah agak baik dan melepasi standard fon telinga lain yang ditawarkan pada harga yang sama. Ia ringan dengan rekabentuk yang selesa membolehkan ia digunakan untuk tempoh yang lama. Pad sesentuh pada sisi mudah digunakan dan pod simpanan yang lutsinar memudahkan pemilik melihat sama ada kedua-dua putik telinga tersimpan selamat.

Tetapi harga mampu milik ini dicapai dengan tiada sokongan ANC, rekaan terbuka dan tiada sokongan Fast Pair. Penggunaan perisian HeyMelody turut diperlukan untuk mengubah tetapan pad sesentuh. Pada peranti iOS ini langsung tidak boleh dilakukan kerana HeyMelody belum dikemaskini untuk menyokong Air2.

Pada harga RM249 ia ditawarkan pada harga mampu milik tetapi jauh lebih mahal berbanding harga jualan hanya RM131 di China. Kenapa harga meningkat mendadak? Jika anda memerlukan TWS kelas asas dengan kualiti audio yang baik Oppo Enco Air2 adalah lebih dari memadai.

Pro

  • Rekaan yang selesa dan ringan.
  • Prestasi audio yang memuaskan.
  • Kalis peluh.
  • Ketahanan bateri yang baik.
  • Pod pengecas lutsinar unik tetapi praktikal.

Kontra

  • Tiada ANC.
  • Tiada perisian di iOS.
  • Tiada Fast Pair.
  • Perbezaan harga dengan China yang melampau.

komen


© Amanz / 2022 Kami