Twitter Blue adalah pelan langganan pertama Twitter. Melalui Twitter Blue, pengguna boleh melakukan banyak ciri menarik seperti bookmark ciapan, membaca artikel tanpa iklan, ciapan boleh dikembalikan sebelum diciap, ikon boleh ditukar dan banyak lagi. Twitter Blue setakat ini terhad pada aplikasi iOS dan web sahaja dengan pengguna Android yang hanya kadangkala sahaja dapat menggunakan ciri ini jika sudah melanggan.

TweetDeck pula adalah Twitter di web yang mempunyai lebih banyak ciri dan fungsi menarik dan ia adalah percuma. Ciapan boleh dijadualkan, boleh buka banyak susur masa, dan banyak lagi. Pembangun bebas Jane Manchun Wong telah menemui bukti yang TweetDeck mungkin akan disertakan dalam Twitter Blue dan bukan lagi percuma seperti sekarang. Ini bermakna, mereka yang ingin menggunakan TweetDeck besar kemungkinan diwajibkan melanggan Twitter Blue.

Jane mula sedar akan perubahan ini sejak 17 Mac lalu, yang mana pada web jika membuka TweetDeck ia akan memasuki bahagian pembayaran untuk pengesahan langganan. Kemudian baru-baru ini, TweetDeck dilihat telah disenaraikan dalam ciri-ciri eksklusif Twitter Blue.

Jika benar pengguna perlu melanggan Twitter Blue untuk menggunakan TweetDeck, RM12.90 perlu dikorbankan setiap bulan untuk menggunakan perkara yang sekarang ini percuma.