Realme sedia memperkenalkan peranti berspesifikasi mercu keluarannya di beberapa pasaran luar sebelum ini. Peranti yang dimaksudkan adalah Realme GT2 Pro dan kini tibalah masanya untuk pasaran tempatan menerima penawarannya. Ia lengkap dengan janaan cip Snapdragon 8 Gen1, sekaligus bakal bersaing dengan beberapa peranti sedia ada di Malaysia yang menggunakan pemprosesan yang sama. Antaranya seperti Xiaomi 12, Xiaomi 12 Pro, Samsung Galaxy S22+ dan Samsung Galaxy S22 Ultra.

Bagi yang berminat, ia ditawarkan pada harga RM2,999 (12GB / 256GB). Ia bagaimanapun boleh dimiliki pada harga lebih rendah iaitu RM2,599 apabila anda membelinya di antara tarikh 25 – 31 Mac 2022. Ia ditawarkan secara eksklusif menerusi Shopee dan setiap pembelian didatangkan dengan hadiah percuma berupa Realme Buds2 Neo. Sementara itu, pembelian secara luar talian pula boleh didapati menerusi pengedar sah Realme di seluruh Malaysia. Setiap pembelian akan disertakan dengan Realme Watch 2 Pro dan jaminan tambahan selama setahun secara percuma. Kesemua ini adalah berdasarkan konsep sementara stok masih ada.

Realme GT2 Pro merupakan sebuah peranti berspesifikasi mercu dengan janaan cip Snapdragon 8 Gen1. Ia turut menampilkan beberapa teknologi baharu yang mampu menjadikannya berada dalam kelas tersendiri. Antaranya seperti panel belakang dengan kemasan bio- polimer, sensor ultra-lebar bersama darjah pandang 150 darjah dan penambah-baikan dari segi rangkaian.

Seterusnya, peranti juga lengkap dengan skrin 6.7-inci AMOLED WQHD+ dan kadar segar semula 120Hz. Bateri pula sebesar 5000mAh dengan pengecasan pantas 65W. Kamera utama pula terdiri dengan dengan tetapan 50-Megapixel (utama) (OIS)+ 50- Megapixel (Ultra-lebar) + 3-Megapixel (mikroskop) dan kamera swafoto 32- Megapixel.