Sehingga kini, Intel dan NVIDIA dilihat sebagai dua syarikat yang mempunyai perhubungan simbiotik diantara satu-sama lain, walaupun kini, kedua-dua syarikat ini boleh dikatakan pesaing kerana kemasukan Intel dalam arena pemprosesan grafik dan NVIDIA dalam arena pemprosesan komputer.
Intel, seperti yang sedia maklum kini sedang membangunkan sejumlah kilang-kilang baru di Amerika dan Eropah untuk merealisasikan projek Intel Foundry Services yang dilihat membolehkan Intel untuk membangunkan cip-cip pemprosesan untuk syarikat-syarikat lain, seperti apa yang sedang dilakukan oleh TSMC dan juga Samsung.

Jensen Huang, CEO NVIDIA mengatakan bahawa walaupun sekarang, NVIDIA dilihat menggunakan khidmat TSMC dan Samsung untuk membangunkan cip-cip pemprosesan mereka, dan apabila tiba masanya, ia tidaklah begitu mengejutkan sekiranya NVIDIA menggunakan khidmat Intel untuk membangunkan komponen-komponen yang sama.
Beliau juga berkata bahawa ia adalah satu kelebihan untuk bukan sahaja NVIDIA, tetapi syarikat-syarikat lain yang bergantung kepada satu atau dua pembuat cip pemprosesan sahaja kerana kebergantungan kepada satu syarikat sahaja untuk mengilangkan komponen-komponen mereka bukanlah sesuatu yang begitu baik.
Seperti yang dikatakan sebelum ini, NVIDIA dan Intel dijangka akan meneruskan perhubungan simbiotik mereka dengan bukan sahaja bekerjasama untuk membangunkan komputer-komputer yang berkuasa, tetapi juga pada tahap rantaian bekalan dimana Intel akan membekalkan NVIDIA dengan kemampuan untuk mengilangkan cip-cip pemprosesan mereka di masa akan datang.