Selain Amazon, Google juga banyak hadir dengan peranti berhubung untuk kawalan rumah pintar, memudahkan urusan ringan harian serta untuk memberi pengguna pembantu digital dalam ekosistem masing-masing. Antara produk daripada Google adalah Nest Mini dan Nest Hub iaitu pembesar suara pintar dan paparan pintar.
Produk-produk Nest Google ini hadir dengan Google Assistant terbina dan sistem operasi tersendiri. Untuk Nest Hub, Google menggunakan Fuchsia OS dan versi terkini turut mempunyai sensor radar Soli untuk kawalan gestur serta memantau tidur atau aktiviti pengguna. Turut ada versi dengan kamera untuk pengecaman wajah dan penggunaan panggilan video.
Kelak, Nest Hub versi 2022 dilaporkan akan hadir dengan skrin yang boleh ditanggalkan untuk dijadikan sebagai tablet. Versi baharu turut akan hadir dengan kemaskini sistem terkini seperti hadir dengan talam aplikasi untuk lebih pantas membuka aplikasi. Dengan mod tablet, pengguna boleh menjadikan paparan pintar ini untuk digunakan sebagai peranti harian di dalam rumah atau pejabat. Apabila ditanggalkan, pengguna akan mempunyai skrin dan pembesar suara secara berasingan.
Dengan Google yang iri hati dengan pasaran iPad, serta menjangka tablet dapat memintas jualan komputer – tidak terkejut jika Google akan memfokuskan kepada peranti seperti ini. Sama-sama kita nantikan lebih lanjut untuk kehadiran produk ini nanti.
- Sumber: 9to5Google