Cari @ Amanz

Vivo Akan Mengumumkan Sesuatu 28 Mac Ini – Mungkin Vivo X Fold, X Note Dan Vivo Pad

Link Copied!

Walaupun Vivo adalah syarikat di bawah BBK Electronics, mereka lebih bergerak secara sendiri berbanding Oppo, OnePlus dan Realme. Mereka lebih fokus dengan cara tersendiri serta pemasaran tersendiri.

Vivo juga sudah lama dikhabarkan akan hadir dengan peranti dengan skrin boleh-lipat Vivo X Fold. Selain itu, peranti X Note dan Vivo Pad juga sudah lama dalam perancangan. baru-baru ini dalam satu siaran di Weibo rasmi mereka, Vivo mengacah poster dengan rama-rama yang memberi petanda mereka akan hadir dengan peranti skrin boleh lipat pada Isnin akan datang, 28 Mac 2022.

X Fold dikatakan akan hadir dengan skrin 6.53-inci OLED FHD+, 120Hz di luar dan skrin 8-inci OLED QHD+, 120Hz di dalam. Peranti mungkin dijana dengan cip Snapdragon 8 Gen 1, menggunakan konfigurasi kamera 50+48+12+8 Megapixel. Bateri pula dikhabarkan adalah 4600mAh dengan pengecasan pantas 80W berwayar serta 50W nirwayar. Kedua-dua skrin juga mungkin akan menyertakan pengimbas cap jari bawah skrin.

Kemudian, Vivo X Note dikatakan adalah peranti dengan skrin besar daripada mereka atau gelaran suatu ketika dahulu – phablet. Skrin mungkin 7-inci AMOLED QHD+, 120Hz, juga dijana dengan cip Snapdragon 8 Gen 1, bateri 5000mAh dengan 80W berwayar dan juga 50W nirwayar serta kamera sama dengan X Fold.

Akhir sekali, Vivo Pad juga adalah antara produk yang sudah lama Vivo rancang. Tablet ini akan mempunyai skrin 11-inci, resolusi 2560×1600, 120Hz dengan panel yang mungkin daripada LCD. Cip dikatakan sama dengan Oppo Pad, iaitu Snapdragon 870, bateri pula adalah 8040mAh dengan pengecasan 44W. Kamera pula adalah 13+8 Megapixel di belakang dan 8 Megapixel untuk swafoto.

Kesemua peranti ini juga akan menjalankan sistem operasi Android 12. Di China mungkin Origin OS dan tidak pasti jika ia akan hadir untuk pasaran global. Sama-sama kita nantikan pengumuman rasmi 28 Mac kelak.

Sumber: Weibo Vivo

Komen ()