Berita mengenai kewujudan tablet Vivo bukanlah suatu hal yang baharu, sebaliknya ia sudah kedengaran sejak beberapa tahun lalu. Bermulalah daripada pendaftaran tanda dagang, kemudian diikuti pula dengan pendedahan mengenai rekaan fizikal dan spesifikasi awal. Malahan, Vivo sendiri turut telah mengesahkan yang mana ia bakal dilancarkan pada pertengahan pertama tahun ini.

Bakal dikenali sebagai Vivo Pad, rekaan tablet ini telah diperlihatkan dengan lebih jelas menerusi beberapa imej tular di Weibo. Ia ditemui menerusi akaun Vivo Intelligent Terminal dan dalam masa sama turut disahkan oleh pihak Vivo China sendiri. Ia menunjukkan tablet mempunyai rekaan sisi tubuh yang rata dan berkotak. Ia turut dipadankan dengan saiz bezel yang nipis pada kesemua sisi, di samping panel belakang yang lengkap dengan kemasan sejenis berkilat.


Turut kelihatan, adanya modul kamera di belakang yang cukup besar bagi menempatkan kamera utama. Sungguhpun begitu, gambar yang diperlihatkan adalah samar-samar dan tidak diketahui sama ada ia menyertakan tetapan dwi atau tri-kamera bersama dengannya. Kemudian, terdapat juga penjenamaan Vivo yang ditempatkan pada bahagian tengah.

Bahagian bawah menempatkan port sambungan USB-C dan dua pembesar suara. Sementara itu, sisi kanan pula menempatkan butang kuasa dan laras audio. Ia juga menyokong beberapa aksesori tambahan seperti stylus dan papan kekunci fizikal. Setakat yang diketahui, Vivo dikhabarkan bakal mengumumkan sesuatu pada penghujung bulan ini. Dengan perkongsian ini, kita boleh menjangkakan tablet ini turut bakal diumumkan sama.
Sumber : Weibo