Carian
EU Ingin Sokongan Penghantaran Rentas Platform Pada Aplikasi Pemesejan
March 27, 2022 Effi Saharudin

Kesatuan Eropah (EU) ingin menguatkuasakan Digital Markets Act (DMA) bagi mengharamkan amalan tertentu yang digunakan oleh platform besar bagi mengekalkan pengguna dalam ekosistem mereka. Antara yang akan diperkenalkan oleh EU ialah sokongan penghantaran rentas platform pada aplikasi pemesejan.

Aplikasi pemesejan popular seprti iMessage dan Facebook Messenger kelak akan diarahkan mengintegrasikan sokongan menerima serta menghantar mesej dari aplikasi lain. Pilihan memilih aplikasi adalah di tangan pengguna di Eropah dan bukannya kerana dipaksa.

Selain itu pengguna akan diberikan kuasa membuang mana-mana aplikasi yang telah dipasang oleh pengeluar. Pilihan juga akan diberikan kepada pengguna untuk memilih aplikasi lalai untuk emel dan melayari web.

Bagi pemilik perniagaan pula, mereka akan diberikan akses kepada data pengiklanan pada platfrom seperti Facebook untuk mengesahkan ia benar-benar berkesan seperti yang dinyatakan oleh Meta. Mereka turut boleh melihat data analitik produk mereka di platform edagang seperti Amazon.

Pemilik platform juga tidak lagi boleh meletakkan produk mereka di atas apabila carian dilakukan. Google tidak lagi menyarankan Google Photos misalnya jika pengguna melakukan carian untuk perkhidmatan storan gambar di awanan di Play Store.

Akhir sekali pengendali gedung aplikasi tidak lagi boleh memaksa pembangun aplikasi menggunakan sistem pembayaran mereka. Ini adalah sama seperti yang telah dilakukan di Korea Selatan tahun lalu ke atas Google dan Apple.

Komen