Cari @ Amanz

Vivo Y21T akhirnya dilancarkan secara rasminya untuk pasaran tempatan. Ia merupakan sebuah peranti dengan janaan Snapdragon 680, sekaligus hanya menyokong rangkaian 4G terbina. Di samping itu, ia turut sama menyokong beberapa lagi ciri menarik lain seperti bateri berkapasiti besar 5000mAh, kamera utama 50MP dan tubuh bersama kemasan sedap mata memandang.

Bagi yang berminat, Vivo Y21T ditawarkan pada harga RM899 dengan dua pilihan warna seperti Midnight Blue dan Pearl White. Ia boleh didapati bermula 26 Mac 2022 menerusi beberapa saluran berbeza. Ini termasuklah kedai atas talian Vivo di Lazada dan Shopee. Sebagai alternatif lain, ia turut tersedia menerusi pengedar sah Vivo di seluruh Malaysia.

Untuk spesifikasi khusus, Vivo Y21T mempunyai skrin sebesar 6.51-inci LCD beresolusi HD+ (1600×720 piksel). Ia kemudiannya dipadankan dengan cip Snapdragon 680, memori 6GB RAM dengan memori maya mencapai 2GB dan storan dalaman sebesar 128GB. Turut melengkapinya adalah ruang tambahan menerusi kad microSD dengan had maksimum 1TB.

Seterusnya, ia juga hadir dengan sistem tri-kamera utama dengan tetapan 50MP + 2MP + 2MP dan kamera hadapan pula sebesar 8MP. Dalam pada itu, bateri sebesar 5000mAh turut digunakan. Lain-lain spesifikasi termasuklah – menjalankan FunTouch OS 12 berasaskan Android 11, bluetooth 5.0, port sambungan USB-C dan sebagainya.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd