Pasaran tablet bakal dimeriahkan lagi dengan kehadiran lebih banyak pilihan produ baharu yang muncul daripada segenap pengeluar. Ini termasuklah Vivo yang kini dalam persediaan untuk pengenalan tablet tersendiri tidak lama lagi. Dikenali dengan nama Vivo Pad, ia bakal diumumkan di China pada 11 April hadapan. Lebih menarik, rekaannya kini diperlihatkan sepenuhnya dalam video promosi pendek tular.
Ia menunjukkan sebuah tablet dengan binaan tubuh berkotak bersama skrin sejenis rata dan sisi yang membulat. Panel hadapan pula dipadankan dengan saiz bezel yang seimbang pada kesemua sisi tablet, di samping sebuah kamera swafoto tunggal untuk kegunaan panggilan video serta tangkapan gambar selfie. Seterusnya, bahagian sisi kanan pula menunjukkan terdapatnya dua butang fizikal yang mungkin berfungsi sebagai butang kuasa dan laras suara.
Melengkapinya juga adalah sistem dwi-kamera di belakang yang disusun menegak dalam modul kamera berbentuk bulat. Turut kelihatan, terdapatnya LED Flash yang ditempatkan dalam satu lagi modul kamera berbeza yang sudah semestinya bantu memudahkan untuk tangkapan gambar dalam gelap. Tiada sebarang spesifikasi yang dikongsi pada video berkenaan.
Bagaimanapun, Vivo Pad dikhabarkan hadir dengan cip Snapdragon 870, paparan 120Hz dan bateri sebesar 8,040mAh. Ia juga akan menggunakan antara muka OceanOS versi Android yang tersesuai. Setakat ini, belum ada sebarang kemas-kini mengenai ketersediaan untuk luar pasaran China.
Sumber : SparrowNews