Cari @ Amanz

Ini Adalah Rekaan Vivo X Fold – Hadir Dengan Skrin 2K 120Hz, Snapdragon 8 Gen 1

Link Copied!

Memetik laporan oleh Omdia, pasaran peranti dengan skrin boleh-lipat telah mengalami pertumbuhan positif dengan merekodkan penghantaran kumulatif mencapai 9 juta unit pada tahun lalu. Salah satu model paling laris ketika itu adalah Samsung Galaxy Z Flip 5G dan terdapat jangkaan bahawa pasaran ini akan terus meningkat dengan ketara dari masa ke semasa.

Tambahan pula, ketika ini terdapat beberapa pengeluar yang sedang giat menghasilkan peranti dengan skrin boleh lipat tersendiri. Misalnya seperti Vivo dan mereka dalam persediaan untuk pengenalannya yang dijadualkan berlangsung di China pada 11 April 2022. Namun, hal yang menjadi persoalan adalah apakah jenis pendekatan yang digunakan oleh Vivo pada peranti berkenaan? Kini, ianya terjawab menerusi sebuah video promosi pendek yang tular.

Jelas kelihatan, Vivo X Fold hadir dengan pendekatan seumpama yang digunakan oleh Samsung pada peranti Galaxy Fold3. Ia mempunyai paparan yang boleh dilipat pada bahagian dalam dan sebuah skrin sekunder di bahagian luar. Seterusnya, saiz bezel pada skrin dalam kelihatan seimbang pada kesemua sisi, di samping terdapatnya sokong sebuah kamera padanya. Skrin sekunder juga mempunyai sokongan kamera tunggal yang diletakkan pada bahagian tengah.

Turut melengkapinya adalah panel belakang yang diperbuat daripada bahan berasaskan kulit. Ia dipercayai kulit sejenis vegan. Bersama-samanya, terdapat dua modul kamera yang masa salah satunya berbentuk segi empat memanjang yang menempatkan LED Flash bersama penjenamaan Zess. Jelas kelihatan, Vivo sekali lagi bekerjasama dengan Zeiss untuk kebolehan kamera pada peranti ini.

Seterusnya, modul kamera kedua pula berbentuk bulat yang menempatkan sistem kuad-kamera dengan susunan 2X2. Kalau perasan, salah satu daripadanya adalah lensa berbentuk empat segi – memberikan gambaran di mana ia mungkin turut mempunyai kemampuan zum yang tinggi menggunakan sistem periskop. Ia bagaimanapun, hanyalah spekulasi awal semata-mata.

Setakat diketahui, peranti kelak akan menyokong skrin dengan resolusi 2K dan kadar segar semula 120Hz. Ia juga akan dijana dengan Snapdragon 8 Gen1. Segala penawaran pada peranti bakal terjawab selepas dilancarkan secara rasmi kelak.

Sumber : SparrowNews, Vivo China


Komen ()