Selain Redmi Note 11 Pro+ 5G, Xiaomi Malaysia turut melancarkan versi kemaskini kepada Redmi Note 11S atau versi naik taraf. Ia adalah Redmi note 11S 5G dengan dalaman sedikit lebih berkuasa dan kamera yang sedikit berbeza.
Tidak seperti abangnya Pro+ 5G yang ada sedikit sahaja perubahan. Peranti ini ada banyak bezanya dengan Redmi Note 11S biasa. Pertama sekali adalah pada namanya sendiri iaitu sokongan rangkaian 5G. Ini adalah kerana peranti ini dijana dengan cip Dimensity 810. Variasi peranti ini di Malaysia hanya ada satu iaitu 6/128 GB dan tiada 4GB RAM atau storan 64GB. Untuk skrin ia adalah lebih besar dengan panel LCD 6.6″ FHD+ berserta kadar segar semula tinggi 90Hz.

Untuk kamera peranti ini menggunakan konfigurasi 50MP+8MP+2MP daripada sensor sudut lebar, ultra sudut lebar dan makro, manakala kamera swafoto pula adalah 13MP sahaja. Untuk bateri ia dimuatkan dengan bateri 5000mAh bersama pengecasan 33W. Audio pula adalah jenis stereo tanpa sebarang ciri istimewa. Peranti kecil dan mampu milik ini turut mempunyai enjin getaran paksi-X yang akan memberikan kesan lebih enak daripada biasa.

NFC, Bluetooth 5.2 masih ada tetapi tiada sokongan WiFi 6. Untuk sekuriti seperti biasa, butang kuasa merangkap butang kuasa disertakan dengan rekaan peranti yang lebih kurang sama. Bicu audio 3.5mm turut dikekalkan pada peranti ini dan ia menjalankan MIUI 13 berasaskan Android 11. Peranti ini dilihat memfokuskan kepada penggunaan kamera 50MP dan ciri skrin 90Hz adaptif.

Harga jualan peranti ini adalah RM999 dengan pilihan warna Midnight Black, Twilight Blue atau Star Blue. Jualan akan bermula pada 22 April akan datang dan anda boleh dapatkannya di Lazada dan Shopee
