Konsol permainan video Sony PlayStation 5 dilihat menggunakan cip APU Oberon yang menggabungkan cip pemprosesan AMD Zen 2 dan juga cip grafik RDNA 2. Cip ini dilihat mampu menguasakan sebuah konsol tersebut untuk menggerakkan permainan video generasi terbaru pada resolusi 4K dan juga kadar segar semula 120Hz.
Tetapi apabila cip-cip ini dikilangkan, tidak semuanya boleh digunakan untuk menguasakan konsol tersebut. Ini adalah perkara biasa dalam industri pembuatan cip semikonduktor, dan secara lazimnya cip-cip pemprosesan yang tidak melepasi piawaian untuk digunakan dalam konsol tersebut akan digunakan untuk tujuan lain.
Itulah yang dilakukan oleh ASRock, dimana mereka baru-baru ini memperlihatkan mesin melombong kriptowang terbaru mereka dengan menggunakan 12 APU Oberon yang tidak melepasi piawaian tersebut.
Mesin pelombong ini dinamakan ASRock Mining Rig Barebone 610 Mhs 12x AMD BC-250 yang hadir dengan kebolehan untuk melombong kriptowang pada kadar 610MH/s menggunakan cip pemprosesan APU AMD BC-250 yang dikatakan merupakan cip pemprosesan Oberon sama yang digunakan dalam konsol PlayStation 5.
Beberapa laporan yang menulis mengenai mesin melombong kriptowang ini juga mengatakan bahawa ia adalah sebuah projek rasmi diantara ASRock dan juga AMD, dan syarikat tersebut dilihat menjual mesin melombong kriptowang ini pada tanda harga sekitar $14,000 (~RM59,000).