Lotus diambil alih oleh Geely pada tahun 2017 dan ia kini di bawah payung yang sama dengan Proton, Smart, dan Volvo. Seperti tiga syarikat tadi, Lotus juga mengeluarkan kenderaan elektrik bagi mengikut kehendak pasaran. Hari ini Lotus Eletre telah dilancarkan sebagai SUV pertama mereka yang juga berkuasa elektrik sepenuhnya.
Eletre hadir dengan empat motor elektrik yang menghasilkan 600 kuasa kuda serta bateri sebesar 100kWh yang memberikan jarak perjalanan 600 km WLTP sekali caj. Menerusi pengecas 350kW pula kenderaan boleh mendapatkan jarak perjalanan 400 km selepas dicas selama 20 minit.
SUV ini dilengkapi empat pintu dan hadir dengan sistem LiDAR di bahagian hadapan dam kamera sisi menggantikan cermin sisi. Menerusi sokongan 5G, Eletre boleh diseru oleh pengguna ke lokasi mereka menggunakan aplikasi telefon pintar dan pergi ke kawasan meletak kereta secara swapandu.
Lotus berkata kemas kini secara OTA akan memastikan lebih banyak ciri baharu swapandu boleh diberikan di masa hadapan. Walaupun ia sebuah SUV, prestasi Eletre adalah sama seperti sebuah kereta lumba kerana mencatatkan masa kurang 3 saat untuk bergerak dari 0-100 kmj.
Lotus Eletre akan turut dipasang di China – kereta pertama Lotus yang tidak dipasang di Norwich pada tahun 2023 dengan jualan ke China, Eropah dan UK akan dibuka tahun yang sama. Harga jualan belum diumumkan.