Cari @ Amanz

Dyson Zone Diumumkan – Fon Kepala Dengan Penapis Udara Terbina

Oleh Nazrin

Link Copied!

Beberapa hari lalu, Dyson telah mengeluarkan sebuah ciapan acah yang memperlihatkan mereka akan melancarkan sebuah produk baru yang membuatkan orang ramai berspekulasi bahawa ia adalah sebuah pelitup muka untuk tujuan menghalang virus COVID-19.

Hari ini, Dyson telah mengumumkan produk tersebut, yang dinamakan Dyson Zone, iaitu sebuah fon kepala dengan penuras udara terbina yang akan meniup udara bersih kepada hidung dan mulut anda.

Dyson Zone menggabungkan rekaan fon kepala tradisional dan juga sebuah visor dan kedua-dua komponen ini bergabung untuk menyedut udara di kawasan fon kepala, dimana ia akan dituraskan dibahagian visor sebelum udara yang ditapis ditiup keluar ke bahagian muka.

Dyson Zone ini juga hadir dengan dua penuras, dimana pertama ialah penuras elektrostatik yang akan menangkap zarah bersaiz 0.1 micron seperti habuk, debunga dan sebagainya, dimana penuras kedua pula ialah penuras karbon yang diperkaya dengan potasium untuk menangkap gas-gas seperti nitrogen dioksida, sulfur dioksida dan karbon monoksida yang sering di udara di kawasan-kawasan bandar.

Bahagian fon kepala Dyson Zone ini hadir dengan sistem pembatalan hingar aktif yang diperlukan kerana terdapat kipas elektrik di sebelah kepala. Sama seperti beberapa jenama fon telinga dan kepala yang lain, ia juga hadir dengan beberapa mod pembatalan hingar yang membolehkan pengguna untuk berbual dengan orang lain dan mematikan fungsi menuras udara.

Ia juga menggunakan sistem pemandu audio neodymium elektroacoustik yang menurut Dyson, akan menjanjikan kualiti dan pengalaman mendengar audio yang sangat baik sekali.

Fon Kepala Dyson Zone ini dilihat hadir untuk para pengguna yang duduk di kawasan bandar dimana pencemaran udara adalah sangat tinggi dan khususnya untuk mereka yang sangat terkesan dengan perkara tersebut.

Buat masa ini, Dyson masih belum mendedahkan bilakah fon kepala ini akan dilancarkan dan tanda harga untuk fon kepala ini. Oleh kerana Dyson dilihat hadir dengan peralatan yang premium, khususnya untuk pembersih hampagas, kipas dan juga pengering rambut mereka, kami jangkakan bahawa fon kepala ini juga akan hadir dengan tanda harga bangsawan apabila ia dilancarkan kelak.


Komen ()