Samsung turut terkenal dengan penawaran peranti tahan lasak menerusi siri Galaxy XCover. Kebiasaannya peranti berkenaan dibekalkan dengan pelbagai ciri menarik termasuklah pensijilan standard ketenteraan (MIL-STD 810H) bagi membolehkannya berfungsi dengan baik dalam apa jua keadaan.

Bercakap lebih lanjut mengenainya, kini tularnya beberapa imej pengolokan yang menunjukkan rekaan untuk Samsung Galaxy XCover Pro 2. Peranti dilihat mempunyai panel hadapan bertakuk kecil dengan sokongan kamera swafoto tunggal. Di samping itu, saiz bezel kelihatan tidak seimbang di mana bahagian atas dan bawah adalah lebih tebal berbanding kedua-dua sisi panel peranti.

Seterusnya, ia juga hadir dengan sistem dwi-kamera dengan susunan menegak pada panel belakang. Turut kelihatan, terdapatnya butang kuasa serta laras suara pada sisi kanan. Peranti turut dilengkapi port sambungan USB-C dan pembesar suara pada bahagian bawah. Tidak ketinggalan, bicu audio 3.5mm turut disertakan pada bahagian atas.

Setakat diketahui, Samsung Galaxy XCover Pro 2 dijangka hadir dengan skrin sebesar 6.56-inci, cip Exynos 1280 atau Snapdragon 778G dan menjalankan Android 12. Dalam pada itu, peranti juga dijangka disertakan dengan bateri yang boleh ditanggal sumpama model terdahulu. Tiada maklumat mengenai tarikh pelancaran peranti yang diketahui buat masa ini.
Sumber : GsmArena