Devialet Melancarkan Dione – Soundbar Dengan Bebola Boleh Putar

Diterbitkan pada Mac 30, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Devialet adalah syarikat produk audio mewah daripada Perancis. Antara produk terkenal mereka adalah dalam siri Phantom seperti Phantom Reactor 600. Harga produk yang mereka jual untuk kategori mercu biasanya mencecah belasan ribu ringgit.

Baru-baru ini mereka telah melancarkan Dione iaitu sejenis soundbar untuk set teater rumah. Keunikan Dione ini adalah di tengahnya terdapat bebola yang boleh berputar mengikut posisi produk ini diletakkan. Dalam Dione terdapat 17 pemacu audio iaitu 8 sebagai subwoofer, 8 lagi untuk audio julat-penuh, dan yang terakhir adalah pada bebola di tengah.

Bebola ini walau bagaimanapun tidak mempunyai motor untuk berputar dengan sendiri, sebaliknya pengguna perlu putar sendiri untuk memastikan pantulan audio adalah tepat. Walaupun ada sensor giroskop, ia hanyalah untuk memastikan pengiblatan produk ini tepat.

Selain itu Dione juga menawarkan ciri Space untuk mengoptimasikan audio menjadi saluran 5.1.2 secara maya dengan sokongan imersif 3D. Sokongan Dolby Atmos turut disertakan. Devialet turut menggunakan cip pemprosesan tersendiri untuk menggunakan ciri ADH analog hibrid digital. Untuk port sambungan ia menawarkan HDMI 2.1 eARC, ethernet, optikal, ada sokongan Bluetooth 5.0, WiF, Spotify Connect dan AirPlay 2.

Dione dijual pada harga $2400, iaitu sekitar RM10090 dengan warna hitam kusam.

komen


© Amanz / 2022 Kami