Siri OnePlus R merupakan rangkaian yang memberi tumpuan terhadap pengoptimasian spesifikasi dengan harga berpatutan berbanding peranti mercu utama. Ia juga bakal diteruskan lagi dengan penawaran model baharu menerusi pengenalan OnePlus 10R.

Buat masa ini, masih belum ada sebarang tarikh pelancaran rasmi peranti. Namun, kini muncul beberapa imej pengolokan yang menunjukkan reka bentuk yang bakal ditawarkan. Jelas kelihatan, ia menunjukkan peranti mempunyai elemen rekaan yang mirip dengan sebuah Realme GT Neo3 dengan perbezaan yang kecil. Di mana, perubahan hanya dibuat hanya pada perletakan LED Flash.

Lain-lain adalah sama dengan panel hadapan berlubang pada bahagian tengah. Melaluinya, ia menyokong kamera swafoto tunggal. Sisi kanan pula terdapatnya butang kuasa, sementara itu sisi kiri pula menempatkan butang laras audio.
Peranti turut dilengkapi sistem tri-kamera di belakang yang disusun dalam bentuk segi tiga. Salah satu daripada sensor mempunyai saiz yang besar, sekaligus menjadi titik utama pada modul kamera tersebut. Seterusnya, penjenamaan OnePlus turut kelihatan pada panel belakang berkenaan.

Setakat diketahui, OnePlus 10R dijangka hadir dengan skrin AMOLED sebesar 6.7-inci beresolusi FHD+. Di samping itu, ia turut sama dibekalkan dengan cip Dimensity 8100, kamera 50MP dan bateri bersama dua pilihan pengecasan – sama ada 80W atau 150W. Bagi melihat sejauh mana kebenarannya, sama-sama kita nantikan perkembangan selanjutnya berkaitan perkara ini.
Sumber : Xda-Developers