Suunto 5 Peak Boleh Didapati Di Malaysia Pada Harga RM1499

Diterbitkan pada Mac 31, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Suunto merupakan jenama jam tangan suka yang berpangkalan di Finland. Bagi mengukuhkan lagi kedudukannya di Malaysia, mereka kini hadir dengan penawaran baharu menerusi pengenalan Suunto 5 Peak. Ia merupakan seutas jam tangan yang dikhususkan buat mereka yang gemar menyertai sukan lasak dan mencabar. Ini termasuklah berlari, mendaki, berjalan kaki, berbasikal atau larian denai.

Ia juga mampu bertahan dengan apa jua keadaan kerana tubuhnya dibina berasaskan bahan keluli tahan karat tahan lama, pada masa sama turut kalis air mencapai 30 meter. Bagi yang berminat, Suunto Peak 5 dijual pada harga RM1,499 menerusi sejumlah platform berbeza seperti Lazada, Shopee, SolarTime dan pengedar sah Suunto di seluruh Malaysia. Setiap pembelian akan didatangkan dengan tikar yoga secara percuma, namun ia berkonsepkan tawaran masa terhad.

Untuk spesifikas khusus, Suunto 5 Peak mempunyai paparan bersaiz 1.1-inci dengan resolusi 218 x 218 piksel. Ia seterusnya turut didatangkan dengan pilihan sehingga enam warna tali jam berbeza seperti Black, Ridge Sand, Orche, Dark Heater, Cave Green dan Ridge Sand Multicolor. Dari segi fungsi, ia lengkap dengan sejumlah sensor terbina untuk pemantauan kesihatan dan sukan yang menyeluruh. Ia turut boleh dipadankan dengan aplikasi Suunto bagi membolehkan pengguna mengakses ciri peta 3D yang sangat membantu pengguna mengetahui laluan larian dengan mudah dan tepat.

Bateri yang disertakan pula mampu bertahan sehingga 100 jam lamanya, di samping terdapatnya mod ‘Tour Battery’ yang boleh meningkatkan jangka hayat mencapai 4 hari meskipun dengan penggunaan GPS secara berterusan. Ketahanan ini boleh meningkat kepada 7 hari dengan mod penjejakan sepanjang hari dan pemberitahuan mudah alih, kemudian mencapai 10 hari dalam mod biasa. Lain-lain spesifikasi termasuklah kawalan muzik, kebolehan pemberitahuan pintar dan sebagainya.

komen


© Amanz / 2022 Kami