OnePlus 10 Pro Dilancarkan Untuk Pasaran Global – Turut Akan Dijual Di Malaysia

Diterbitkan pada Mac 31, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

OnePlus telah pun melancarkan OnePlus 10 Pro di China pada Januari lalu. Kini selepas beberapa bulan, OnePlus dilihat sudah bersedia untuk memperkenalkan peranti ini di peringkat global. Peranti ini adalah antara peranti mercu premium daripada OnePlus dan spesifikasi versi global dan China dilihat tidak jauh bezanya.

Skrin peranti masih lagi daripada panel Fluid AMOLED LTPO bersaiz 6.7-inci dengan kadar segar semula 120Hz, sokongan HDR10+ dan kecerahan mencapai 1300 nits. Resolusi skrin adalah 3216 x 1440 dan dilindungi dengan kaca Gorilla Glass Victus. Peranti ini dijana dengan cip pemprosesan Snapdragon 8 Gen 1 yang dipadankan dengan memori sehingga 12GB RAM dan storan dalaman mencapai 512GB UFS 3.1.

Untuk kamera, OnePlus 10 Pro masih bekerjasama dengan Hasselblad dengan konfigurasi tri-kamera daripada sensor 50MP (sudut ultra lebar), 48MP (sudut lebar, OIS), 8MP (telefoto, OIS) dan kamera swafoto 32MP. Peranti ini boleh merakam video 8K, menyokong mod malam, mod potret dan menggunakan sistem warna Hasselblad Color Calibration.

Untuk audio, peranti ini tidak menyertakan sokongan bicu audio 3.5mm tetapi mempunyai speaker stereo. NFC, Bluetooth 5.2, sokongan WiFi 6 turut disertakan dan untuk sekuriti pengimbas cap jari bawah skrin digunakan. Peranti ini menjalankan sistem operasi Oxygen OS 12 berasaskan Android 12 iaitu ColorOS yang dijenamakan semula dengan sedikit elemen tersendiri OnePlus disertakan.

Bateri peranti adalah 5000mAh dengan sokongan pengecasan pantas berwayar SuperVOOC 80W dan pengecasan nirwayar pantas 50W.

OnePlus dilihat menawarkan pilihan warna Volcanic Black dan Emerald Forest. Harga jualan untuk pasaran global adalah $899 untuk 8/128 GB (di Amerika Syarikat) iaitu sekitar RM3780, manakala model 12/256 GB dilihat hanya ditawarkan di pasaran Eropah pada harga €999 iaitu sekitar RM4655. Laman Facebook OnePlus Malaysia sudah pun mengacah kehadiran peranti ini untuk pasaran tempatan, namun masih tiada tarikh rasmi dan harga lagi buat masa ini.

Sama-sama kita nantikan.

komen


© Amanz / 2022 Kami