Dahulukala, Dell UltraSharp 30 merupakan salah satu daripada paparan skrin LCD yang paling popular keluaran Dell kerana kejituan warna yang dipaparkan, dan ia sering menjadi pilihan pereka digital yang serius mengenai tugasan-tugasan mereka.

Paparan 30 inci tersebut kini kembali lagi dengan menawarkan penggunaan panel IPS dan mengekalkan resolusi 2560×1600 dengan nisbah paparan 16:10 dan kadar segar semula 60Hz. Ia juga hadir dengan nilai kecerahan 400 nit dan mampu memaparkan 95 peratus gamut warna DCI-P3 dan 100 gamut warna sRGB.
Selain daripada itu, Dell UltraSharp 30 ini juga hadir dengan sejumlah palam output, termasuklah HDMI 1.4, DisplayPort 1.4 dan satu palam USB Type-C dengan ciri DP 1.4 Alt-mode.

Palam-palam lain yang diperlihatkan termasuklah satu palam DisplayPort tambahan yang boleh digunakan untuk disambungkan secara terus kepada paparan kedua, empat palam USB 3.2 gen2 Type-A, satu palam audio 3.5mm dan satu palam Ethernet RJ45 untuk sambungan internet berwayar yang boleh disambungkan melalui palam USB Type-C alt-DP kepada komputer riba.

Dell Malaysia dilihat telahpun mula menawarkan paparan skrin Dell UltraSharp 30 ini di pasaran tempatan pada harga RM4159.