Cooler Master MM730 Dan MM731 Adalah Tetikus Gaming Ultra Ringan Mampu Milik Pada Tanda Harga Permulaan RM169

Diterbitkan pada Apr 1, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Jika anda sedang mencari sebuah tetikus gaming yang ringan, tetapi tidak mahu membelanjakan wang untuk tetikus premium seperti Logitech G Pro Wireless ataupun tidak begitu menyukai tetikus ringan yang mempunyai rongga yang banyak, Cooler Master Malaysia telah membawa masuk dua model tetikus yang mungkin menepati keperluan dan kehendak anda.

Cooler Master MM730 dan juga Cooler Master MM731 merupakan dua tetikus gaming yang paling ringan keluaran mereka setakat ini, dengan berat 48g untuk model MM730 dan 59g untuk model MM731. Ia juga hadir dengan dengan empat butang dan satu roda yang boleh diubahsuai ketikannya menggunakan perisian MasterPlus+ dengan cepat dan mudah.

Dari segi prestasi, kedua-dua tetikus ini hadir dengan sensor optikal yang mempunyai sensitiviti setinggi 19,000Hz, tapak yang diperbuat daripada bahan PTFE yang memudahkan pergerakan diatas pelbagai jenis permukaan dan juga kabel Ultraweave yang tahan lama.

Kedua-dua model tetikus MM730 dan MM731 ini adalah tetikus yang sama, tetapi model MM731 hadir dengan fungsi nirwayar. Anda boleh memilih sambungan WiFi 2.4GHz untuk masa pendam yang lebih rendah, dengan jangkahayat bateri 72 jam, ataupun sambungan Bluetooth yang membolehkan anda menggunakan tetikus ini untuk 190 jam dengan satu pengecasan penuh.

Cooler Master Malaysia mengatakan bahawa kedua-dua tetikus Cooler Master MM730 dan MM731 ini sudahpun mula ditawarkan di pasaran tempatan pada harga RM169 untuk model MM730 dan RM239 untuk model MM731 dan ditawarkan dalam warna hitam dan putih.

komen


© Amanz / 2022 Kami