Carian
Ulasan Apple iPhone SE 2022 – Apabila Epal Berbuah Tiga Kali
April 4, 2022 Effi Saharudin

Apple iPhone SE 2022 dilancarkan beberapa minggu yang lalu dengan ia kini boleh dibeli pada harga serendah RM2099. Harga runtuh yang ditawarkan oleh Apple ini mengejutkan kerana iPhone SE 2022 menggunakan cip A15 Bionic yang turut digunakan pada iPhone 13 dan iPad Mini. Oleh sebab itu tidak melampau untuk mengatakan iPhone SE 2022 ialah seperti sebuah kereta Perodua Kancil tetapi dengan enjin turbo berganda.

Tetapi dalam dunia automatif kuasa yang besar tidak berguna jika kotak gear tidak bagus, tayar yang mencengkam tidak dipasang dan tangki minyak berkapasiti kecil. Hanya enjin sahaja ditukar pada model tahun ini berbanding SE 2020. Adakah tindakan Apple untuk mengitar semula sekali rekaan iPhone SE 2016 adalah bijak ataupun mula perlu dihentikan sahaja selepas ini.

Spesifikasi Dan Rekaan

Apple iPhone SE 2022
Skrin4.7″ IPS LCD Retina HD Display,
HD, 60Hz
PemprosesAppel A15 Bionic (5nm)
Cip2 X 3.2 GHz Avalanche
4 X ? GHz Blizzard
Cip GrafikApple GPU 4 Teras
RAM4GB
Muatan Dalaman128/256/512 NVMe
Kamera Utama12 Megapixel f/1.8, OIS
Kamera Swafoto7 Megapixel f/2.2
Bateri2018 mAh
Pengecasan berwayar 18W
Nirwayar Qi 7.5W
SIM/TelefoniDwi SIM nano / 5G
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirIP67
Sistem ImbasanPengimbas jari Touch ID
Harga JualanBermula RM 2099 (4/64GB)

Skrin LCD 4.7″ LCD dengan resolusi 720P dan kadar segar semula 60Hz membuatkan peranti terasa cukup retro. Selepas menggunakan peranti Android dan iPhone 13 Pro Max dengan kadar segar semula 120Hz serta sokongan Dolby Vision, skrin iPhone SE 2022 terasa amat usang. Terasa kurang lancar kerana sekadar 60Hz sahaja.

Warna tidak menyerlah dan di bawah cahaya matahari yang panas sukar untuk melihat apa yang dipaparkan. Teknologi dari lima tahun yang lalu sudah tidak lagi sesuai dengan piawaian paling minima tahun 2022. Pada peranti Android kelas pertengahan rendah skrin OLED 90Hz sudah mula digunakan secara meluas.

Dosa paling besar ialah tiada sokongan HDR. Ya anda boleh mengakses kandungan HDR di Disney+ Hotstar, YouTube dan Netflix tetapi di skrin video yang dipaparkan sebenarnya SDR kerana panel LCD tidak menyokong kandungan julat dinamik tinggi.

Skrin turut terasa amat kecil apabila digunakan oleh tangan kami yang sebesar bapa beruang. Proses menatal susur masa Twitter, Facebook dan Instagram menjadi sangat sukar. Terasa amat canggung sekali kerana skrin kecil ini juga lebih pendek kerana peranti masih mempunyai dagu serta dahi yang besar. Dagu yang besar ini juga membolehkan butang home fizikal klasik dengan Touch ID disertakan. Penggunaan Touch ID mungkin perkara positif pada peranti ini kerana ia lebih pantas berbanding Face ID dan lebih mesra pandemik kerana mengesan jari lebih pantas berbanding wajah.

Setelah empat tahun menggunakan iPhone dengan Face ID, rekaan klasik ni sudah mula menjadi sukar untuk digunakan. Maka kami merasakan hanya mereka yang tidak pernah menggunakan peranti dengan Face ID masih boleh menggunakan iPhone SE 2022 tanpa sebarang masalah.

Tiada perubahan pada rekaan tubuh yang sama dengan model 2020 dan 2016. Bingkai logam yang dibulatkan di sisi dengan panel belakang diperbuat daripada kaca. Ini membolehkan peranti dicas semula secara nirwayar tetapi tanpa sistem magnet MagSafe.

Kerana rekaan sisi bulat, panel kaca dan tubuh yang kecil, kami mempunyai sedikit kesukaran untuk menggunakan peranti ini dengan selesa. Terasa terlalu kecil di dalam telapak tang sehingga ia terasa seperti sebuah alat permainan. Satu-satunya insan yang selesa menggunakan peranti ini semasa tempoh ulasan ialah anak saya yang berusia 8 tahun.

Jadi besar kemungkinan iPhone SE 2022 ialah peranti sempurna untuk ibu bapa yang mencari peranti iOS pertama untuk digunakan anak-anak.

Perkara positif yang boleh kami berikan ialah peranti senang digunakan sebelah tangan dengan kesemua permukaan skrin boleh disentuh oleh jari. Tetapi skrin yang terlalu kecil memberikan tekanan kepada mata kami semasa menggunakannya. Apabila diletakkan pada pemegang telefon di dalam kereta, sukar melihat teks dalam aplikasi navigasi dan menggunakan Spotify misalnya.

Selepas bertahun-tahun menggunakan telefon pintar dengan skrin sebesar 6-inci, kembali ke iPhone SE dengan skrin 4.7-inci adalah pengalaman yang menyeksakan. Ia sama seperti menyuruh orang yang sudah biasa menggunakan TV 50-inci untuk kembali ke skrin 24-inci. Dulu boleh terima lagi tetapi sekarang adalah untuk mustahil untuk kembali ke standard lama.

Tahap kemasan Apple masih boleh dipuji kerana terasa premium dan sedap di dalam tangan. Butang kuasa pada sisi kanan dan butang laras audio di sebelah kiri cukup tegak. Suis membisukan peranti juga pada sisi kiri turut mempunyai binaan yang baik.

Sebuah port Lightning di bahagian bawah dipadakan dengan kekisi speaker stereo. Sebuah lagi speaker diletakkan pada gagang telinga bagi membawakan sistem audio stereo sebenar. Kerana iPhone SE ialah iPhone yang paling murah, ia walau bagaimanapun tidak menyokong audio spatial, Dolby Atmos dan juga tidak hadir dengan cip Ultra Wide Band.

Cip Apple A15 Bionic menggantikan cip A13 Bionic pada iPhone SE 2020. Ini adalah cip mercu yang digunakan juga pada siri iPhone 13 tahun lalu. Dengan kata lain walaupun tubuh peranti kecil, “enjin” yang digunakan sama berkuasa dan dipadankan pula dengan 4GB RAM dan storan sehingga 256GB. RAM sedikit lebih baik berbanding 3GB pada model terdahulu. Dari segi spesifikasi iPhone SE 2022 adalah setanding dengan iPhone 13 dan iPhone 13 Mini.

Spesifikasi kamera pula tiada banyak bezanya masih satu kamera 12MP di belakang dan kamera 7MP di hadapan. Tiada langsung lensa ultra sudut lebar atau zum digital tetapi sekurang-kurangnya masih hadir dengan OIS yang jarang dilihat pada peranti yang dijual pada harga bermula RM2099.

Tiada bonggol kamera yang melampau cuma lensa sedikit terkeluar. Lensa kamera juga amat kecil jika dibandingkan dengan kamera peranti kontemporari. Peranti masih boleh diletakkan rata di atas meja tanpa kerangka. Seperti biasa kami sarankan pembelian kerangka untuk satu lapisan keselamatan.

Membekalkan kuasa pula ialah bateri sebesar 2018 mAh yang sekitar 200 mAh lebih besar berbanding model terdahulu. Apple mengatakan ini mampu memberikan masa menonton video sehingga 15 jam. Pengecasan semula ialah pada kuasa 18W sahaja menggunakan kabel dan 7.5W menggunakan pad pengecas Qi.

Melengkapi spesifikasi peranti ialah menyokong rangkaian WiFi 6, Bluetooth 5.0, dan kesemua sistem GPS di muka bumi. Peranti turut melepasi piawaian kalis air IP67 dan menyokong rangkaian 5G Sub-6GHz tetapi tidak di Malaysia kerana tiada ada satupun peranti Apple disokong DNB.


Penggunaan Dan Perisian

Peranti menggunakan iOS 15.4 yang terkini tetapi dengan antaramuka klasik. Tiada sokongan gestur pantas untuk menukar aplikasi dengan menatal talam bawah. Sistem retro menekan butang home sebanyak dua kali perlu digunakan. Melakukan tangkapan layar juga kembali kepada menekan butang kuasa dan home serentak.

Lebih canggung ialah untuk melancarkan Control Center tatapan dalam bawah ke atas perlu dilakukan dengan tatapan dari atas skrin ke bawa hanya membuka talam notifikasi. Sekali lagi ingin kami katakan sudah agak lama tidak menggunakan sistem kawalan lama ini dan akibatnya proses menggunakan iPhone SE 2022 terasa perlahan. Jika anda berubah dari iPhone 8 atau iPhone SE 2022 kesemua perkara yang kami sebutkan di atas tidak akan menjadi isu yang besar.

Walaupun antaramuka peranti amat lancar dan terasa responsif, skrin 60Hz membuatkan kesemuanya terasa perlahan. Ghosting juga dapat dilihat jika tatalan pantas dilakukan oleh pengguna. Setelah lebih dua tahun menggunakan peranti dengan skrin 120Hz, ini satu lagi ciri lama yang sudah tidak lagi boleh kami kembali gunakan. Terasa seperti melakukan langkah ke belakang.

Sungguhpun begitu peranti masih lagi lancar menjalankan aplikasi popular dan permua. Tiada sebarang isu berlaku semasa menggunakan aplikasi yang telah dipasang. Pengalaman penggunaan peranti adalah amat baik. Seperti kesemua iPhone lain di pasaran, telefon pintar kompak ini akan menerima sokongan tampalan sekuriti dan sistem operasi selama lima tahun.

Antara ciri menarik pada iOS 15.4.1

  • Universal Control – Kawal iPhone dari sebuah komputer macOS.
  • Text Recognition – Membaca teks terus dari gambar tanpa aplikasi tambahan.
  • SharePlay – Menonton kandungan video dan laman web bersama kawan menerusi FaceTime.
  • Health – Berkongsi maklumat kesihatan dengan keluarga dan teman.
  • Memoji – Avatar 3D yang boleh digunakan bagi mengganti wajah sendiri.
  • Legacy Contact – Menyerahkan kandungan iCloud kepada wakil selepas kematian.

Penanda Aras

Markah penanda aras yang dicatatkan menggunakan aplikasi Geekbench 5 dan Antutu 3D adalah setanding dengan yang dicatatkan oleh iPhone 13 Pro Max. Tidak mengejutkan langsung kerana penggunaan cip yang sama,

  • Geekbench 5 – 1721/4545 Markah
  • Antutu 3D – 741,944 Markah

Markah Geekbench A15 adalah lebih tinggi jika dibandingkan dengan Xiaomi 12 Pro dengan Snapdragon 8 Gen 1. Tidak begitu jauh tetapi perbezaan skor adalah ketara. A15 Bionic hanya kalah dalam ujian GPU Antutu 3D yang berada jauh di belakang Xiaomi 12 Pro yang berjaya mencatatkan 950,046 markah.

Dalam dunia sebenar prestasi iPhone SE 2022 adalah amat baik kerana mampu menjalankan pelbagai aplikasi utama dengan lancar dan permua bergrafik tinggi pada tetapan paling tinggi. Terasa sedikit membazir dari segi kuasa sahaja kerana skrin terlalu kecil untuk melihat perbezaan kualiti tekstur beresolusi tinggi. Pada waktu ini iPhone SE 2022 ialah telefon pintar kecil paling berkuasa di pasaran.


Telefoni dan GPS

Peranti menyokong rangkaian 5G tetapi tidak di Malaysia. Oleh itu ujian hanya dilakukan menggunakan rangkaian 4G LTE. Kualiti panggilan suara adalah baik dengan audio yang jelas. Terdapat sokongan VoWiFi untuk melakukan panggilan telefon apabila rangkaian selular adalah agak lemah yang juga kualitinya baik.

Prestasi GPS juga bagu setanding dengan pengalaman kami menggunakan iPhone 13 Pro Max. Tiada masalah lokasi hilang atau isyarat hilang secara rawak. Yang menjadi isu hanyalah skrin terlalu kecil untuk melihat arahan pada skrin. Sebagai sebuah telefon pintar dan alat GPS, iPhone SE 2022 adalah cemerlang.


Kamera

Kamera lama yang menurut Apple ditambah baik dengan perisian yang lebih baik. Kami katakan lama kerana tidak perbezaan saiz sensor dan lensa dilakukan berbanding iPhone SE 2022. Pengalaman menggunakan kamera pada peranti ini sama seperti kesemua peranti iPhone dengan iOS 15.4.1.

Kamera berfungsi laju mengambil gambar dan video. Tiada isu pemanasan melampau kami sedari sepanjang tempoh ulasan. Hanya sekadar suam-suam kerana setiap gambar perlu diproses. Dengan sensor yang kecil proses mengambil gambar amat pantas. Tiada sela masa seperti yang kami alami pada S22 Ultra dengan sensor 108MP.

Apple mengatakan dengan perisian lebih bijak peranti dilengkapi “Kamera Superstar”. Tetapi superstar di mana? Hollywood, Bollywood, Hong Kong, atau Korea Utara? Memang kualiti gambar yang diambil lebih baik jika dibandingkan dengan iPhone SE 2022 tetapi tidak setanding peranti mercu lain. Kualitinya hanya sekadar sederhana sahaja dengan prestasi dari situasi sedikit malap kurang memuaskan dan melepasi piawaian baisa Apple.

Dalam situasi terang benderang dan cahaya yang sempurna gambar yang diambil adalah tajam dengan penghasilan semula warna yang amat baik. Mod swafoto misalnya konsisten setiap masa serta tajam jika ingin dibandingkan dengan Xiaomi 12 Pro yang bermasalah.

Apabila di tempat tertutup dengan cahaya sedikit malap kami sedari gambar mula kehilangan ketajamannya dan penghasilan semula warna yang agak gelap. Mod malam juga sekadar boleh tahan sahaja. Perisian baharu tidak mampu melawan realiti perkakasan kamera yang sudah berusia hampir enam tahun. Jika Apple ingin terus mengeluarkan iPhone SE di masa hadapan, spesifikasi kamera yang lebih baik perlu diberikan keutamaan.

Bateri

Isu paling besar pada iPhone SE 2020 ialah ketahanan bateri yang hanya sekitar 5 jam. Sungguh tidak boleh dimaafkan. Dengan cip lebih baik dan bateri 2018 mAh yang lebih besar, isu yang sama masih berterusan.

Dalam penggunaan biasa kami pergi ke sekolah anak menggunakan GPS, menstrim muzik dan melayari laman media sosial, waktu SOT terbaik ialah sekitar 7 jam. Ini adalah 40% lebih baik berbanding iPhone SE 2020 tetapi masih tidak sebaik sehingga 13 jam pada sebuah iPhone 13 Pro Max. Hayat penggunaan menyeluruh yang dapat kami nikmati ialah sekitar 10 jam sahaja pada pengguna sederhana. Sekali lagi tidak cukup bagus untuk sebuah telefon pintar mercu 2022.

Jika anda masih berkerang ingin membeli iPhone SE 2022, pastikan anda membeli sebuah powerbank kerana ia tidak boleh bertahan sepanjang hari. Waktu pengecasan semula telefon adalah sekitar satu jam sahaja menggunakan pengecas 18W yang tidak diberikan dengan setiap pembelian. Pengecasan nirwayar mengambil masa yang lebih lama kerana kuasa maksimum 7.5W sahaja.


Audio

Tiada spatial dan tiada Dolby Atmos tetapi masih ada speaker stereo. Speaker stereo yang diberikan amat lantas dengan audio yang masih tidak seimbang kerana speaker bawah kedengaran lebih kuat. Namun begitu kualiti audio speaker peranti ini masih senonoh dan memuaskan. Pada tetapan tertinggi tidak pecah dan audio yang didengari masih jelas. Tiada bicu audio 3.5mm tetapi kami tidak boleh merungut kerana ini bukan benda yang baru berlaku semalam. Kemampuan audio peranti sebenarnya lebih baik dari yang kami jangkakan.


Pesaing

Apple iPhone SE 2022Samsung Galaxy S22Xiaomi 12
4.7″ IPS LCD, 750 x 1334, 60Hz, (326 ppi)6.1″ Dynamic AMOLED 2X, 1080 x 2340 , 120Hz, HDR10+, (425 ppi)6.28″ OLED, 1080 x 2400, 120Hz, Dolby Vision, (419 ppi)
Apple A15 Bionic (5nm)
2 X 3.22 GHz Avalanche
4 X ? GHz Blizzard
Snapdragon 8 Gen 1 (4nm)
1 X 3.0 GHz Cortex X2
3 X 2.5 GHz Cortex A710
4 X 1.8 GHz Cortex A510
Snapdragon 8 Gen 1 (4nm)
1 X 3.0 GHz Cortex X2
3 X 2.5 GHz Cortex A710
4 X 1.8 GHz Cortex A510
Apple GPU 4 TerasAdreno 730Adreno 730
8 GB 8 GB LPDDR58 GB LPDDR5
64/128/256 GB
128/256 GB UFS 3.1

128/256 GB UFS 3.1
Kamera Utama
12 Megapixe, f/1.8 OIS
Kamera Utama
50+12+10 Megapixel (f/1.8+f/2.2+f/2.4), OIS,
Kamera Utama
50+13+5 Megapixel (f/1.9+f/2.4) OIS
Kamera Hadapan
7-Megapixel f/2.2
Kamera Hadapan
10-Megapixel f/2.2
Kamera Hadapan
32-Megapixel
IP67IP68Tiada
Tiada bicu audioTiada bicu audioTiada bicu audio
Audio StereoAudio StereoAudio Stereo
2018 mAh (Berwayar 18W)3700 mAh (Berwayar 25W)4500 mAh (Berwayar 67W)
Harga bermula RM2099Harga bermula RM3499Harga bermula RM2899

Dalam Kotak

Berikut ialah apa yang diterima dengan setiap pembelian peranti di Malaysia.

  • 1x Apple iPhone SE 2022
  • 1x Kabel pengecas USB-C ke Lightning.
  • 1x Manual
  • 1x Pelekat Apple

Kesimpulan

Pisang tak boleh berbuah dua kali apatah lagi tiga kali. Pohon epal boleh menghasilkan buat berkali-kali sepanjang hayatnya. Tetapi dalam situasi ini Apple perlu lebih mengambil resam pokok pisang dalam pengeluaran iPhone paling mampu milik mereka. Rekaan, kamera, bateri dan skrin dari tahun 2016 sudah terlalu usang untuk tahun 2022. Kesemuanya tidak lagi kongruen dengan apa yang diinginkan oleh pengguna sekarang.

Memang iPhone SE 2022 berkuasa setanding iPhone 13 Pro Max tetapi kesemua kuasa ini tidak dapat dilihat sangat dalam penggunaan harian kerana skrin hanya 60Hz, tanpa HDR, resolusi HD dan tidak cukup besar. Kami muat turut pek grafik tinggi untuk COD Mobile dan pada skrin 4.7″ tak ada beza dari menggunakan pek grafik biasa. Ada kuasa yang tinggi tetapi tidak kelihatan kelebihannya langsung.

Kemudiannya pengalaman menggunakan peranti dicemarkan oleh prestasi kamera yang langsung tidak mempunyai faktor wow, sistem operasi yang tidak selari dengan model lain dan hayat bateri yang jauh di bawah par untuk sebuah peranti Apple.

Terdapat spekulasi SE pada nama peranti bermaksud Steve Edition. Jika mendiang Steve Jobs melihat iPhone SE 2022, beliau mungkin akan mengamuk kerana terlalu banyak kompromi dilakukan sehingga layak menggunakan nama “Sengal Edition”.

Jika anda mencari sebuah iPhone yang mampu milik, kami sarankan iPhone 11 yang sedikit lebih mahal (bermula dari RM2399) tetapi boleh menawarkan pengalaman penggunaan yang lebih seimbang. iPhone SE 2022 hanya boleh kami sarankan kepada mereka yang memerlukan sebuah peranti bersaiz kompak tetapi berkuasa atau ibu bapa yang mencari iPhone pertama untuk anak tanpa berbelanja lebih.

Pro

  • Menggunakan cip Apple 15 Bionic yang berkuasa.
  • Sokongan perisian iOS selama 5 tahun.
  • Kalis air IP67
  • Selesa digunakan sebelah tangan.

Kontra

  • Skrin terlalu kecil dan tidak terang di bawah matahari terik.
  • Prestasi bateri yang tidak memuaskan.
  • Prestasi kamera yang tidak di tahap mercu.
  • Hanya satu lensa kamera utama.
  • Terlalu banyak kitar semula rekaan 2016.
Komen