Cari @ Amanz

Konsol Android Mudah Alih GPD XP Plus Dilengkapi Alat Kawalan Boleh Ganti Bermagnet

Link Copied!

GPD XP Plus ialah sebuah lagi konsol mudah alih dengan sistem operasi Android dari syarikat yang berpangkalan di Shenzen. Konsol terkini mereka kali ini semakin berkuasa dan semakin menarik kerana hadir dengan pelbagai alat kawalan permainan yang boleh digantikan dan pada waktu yang sama bersambung menggunakan magnet.

Tiga set alat kawalan ditawarkan oleh GPD ialah untuk permua MOBA, FPS dan satu lagi seakan Xbox. Kesemuanya disambungkan pada slot di bahagian kanan konsol dengan kesemua butang kawalan di bahagian kiri tidak boleh ditanggalkan. Dengan pelbagai aksesori ini, pemain boleh mengubah alat kawalan bergantung kepada permua yang ingin dimainkan. Tombol analog hadir dengan ciri haptik untuk sesi permainan lebih realistik.

Dari segi spesifikasi konsol hadir dengan skrin 6.8″ TFT LCD sesentuh, dijana cip Dimensity 1200, 6GB RAM LPDDR4X, storan 128GB UFS 3.1, dan bateri sebesar 7000 mAh yang menyokong pengecasan 30W menerusi port USB-C. Terdapat juga kamera 5MP di hadapan untuk pensriman. Ia turut boleh digunakan untuk panggilan video menerusi WhatsApp, WeChat dan banyak lagi. Sistem operasi yang digunakan pula masih berasaskan Android 11.

Storan boleh ditambah sehingga 2TB menggunakan kad mikroSD. Dari segi sambungan pula ia menyokong WiFi 6 dan sim 4G sahaja. Peranti turut boleh disambungkan ke monitor luar menggunakan kabel USB-C. Selain itu sistem audio stereo, sistem penyejukan aktif dan menstrim kandungan PS5 atau Xbox boleh dilakukan.

GPD XP Plus kini sedang mengumpul dana menerusi Indiegogo tetapi harga jualan belum diumumkan.


Komen ()