Cari @ Amanz

Ulasan Xiaomi 12 – Untuk Yang Rindu Peranti Kompak Yang Padu

Link Copied!

Seminggu pertama saya menggunakan Xiaomi 12, saya katakan ia adalah peranti kecil yang mantap. Kini setel;ah saya uji untuk jangka masa yang panjang, saya boleh katakan sekali lagi sebuah peranti mercu Xiaomi menjadi peranti kegemaran saya. Peranti ini sebenarnya bukanlah kecil mana, 6.28-inci adalah saiz skrin yang besar. Tetapi kerana banyak peranti mercu bersaiz lebih besar, dan saya juga sudah biasa – peranti ini boleh dikatakan kecil dan kompak.

Peranti Xiaomi yang paling lama saya gunakan adalah Mi 11, dan selepas menggunakan Xiaomi 12 ini saya sedari yang Xiaomi setiap tahun memberi perubahan yang agak drastik menyebabkan peranti lama mereka rasa seakan sudah tidak relevan. Cuma dengan harga yang ditawarkan, kemampuan prestasi dan kamera – adakah ini peranti mercu yang terbaik?


Spesifikasi Dan Rekaan

Xiaomi 12
Skrin6.28″ OLED,
FHD+, 120Hz, Dolby Vision, HDR10+
PemprosesSnapdragon 8 Gen 1 (4nm)
Cip1 X 3.0 GHz Cortex X2
3 X 2.5 GHz Cortex A710
4 X 1.8 GHz Cortex A510
Cip GrafikAdreno 730
RAM8GB LPDDR5
3GB Memori maya
Muatan Dalaman256 UFS 3.1
Kamera Utama50+13+5 Megapixel f/1.9+f/2.4+f/2.4, Ultra sudut lebar, OIS
Kamera Swafoto32 Megapixel f/2.5
Bateri4500 mAh
Pengecasan berwayar 67W
Pengecasan nirwayar 50W
SIM/TelefoniDwi SIM nano / 5G
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengimbas jari bawah skrin optikal
Harga JualanRM 2899 (8/128GB)
RM 2999 (8/256GB)

Xiaomi 12 Pro dan Xiaomi 12 tidak banyak pun bezanya, beza paling jelas hanyalah pada saiz sahaja. Lain-lain adalah pada kamera, resolusi skrin dan pilihan memori. Selebihnya ia adalah sama kerana Xiaomi tidak ingin pengguna mereka rasa asing di antara dua model peranti dan inginkan semua pengguna berada dalam satu komuniti yang mesra.

Skrin Xiaomi 12 adalah daripada panel OLED bersaiz 6.28-inci dengan resolusi FHD+, menyokong kadar segar semula tinggi 120Hz, Dolby Vision, dan paparan HDR10+. Sokongan kadar segar semula adalah jenis adaptif dan pada tetapan MIUI 13 terdapat pilihan untuk mengikut kesesuaian pengguna. Dengan ciri ini, ia dilihat adalah semakin baik dan tidak rasa aneh atau kerap sangkut-sangkut pada setiap tatalan. Masalah hanya akan berlaku pada aplikasi yang tidak menyokong perubahan kadar segar semula tinggi ini. Jika tidak, lain-lain semuanya lancar sahaja.

Kecerahan skrin juga adalah hebat jika menggunakannya di luar di bawah matahari terik. Skrin boleh dilihat dengan baik dan terang serta tidak memberi masalah kepada saya sepanjang penggunaan. Peranti ini mempunyai warna skrin yang cantik dan tajam. Untuk penstriman pada YouTube dan Netflix, sejak Xiaomi 11T Pro dengan Dolby Vision – Xiaomi 12 turut memberikan pengalaman yang memuaskan. Kualiti HDR10+ dan Dolby Vision memang boleh dibezakan dari segi kedalaman warna, bayang-bayang, warna hitam dan butiran pada tekstur.

Skrin peranti ini turut mempunyai pengimbas cap jari di bawahnya, yang mana ia bukan sahaja pantas tetapi juga menyokong pengimbas nadi. Ia lebih baik daripada Mi 11 sebelum ini dengan hasil bacaan yang hampir sama dengan jam tangan pintar yang sedang saya gunakan. Skrin peranti direka dengan lubang di tengah, sedikit melengkung di kedua-dua sisi, bezel juga nipis yang menjadikan peranti ini kelihatan mewah dan akan memberikan pengalaman penggunaan yang imersif.

Sekali pandang, Xiaomi 12 ini masih ada rupa bentuk Mi 11 lagi. Tetapi kerana rekaan kamera yang berbeza seakan modul yang modular kerana diasingkan setiap komponen dalam bentuk grid dan kemasan panel belakang yang berlainan – ia menjadikan peranti ini mempunyai identiti tersendiri dan tidak seperti peranti pesaing. Panel belakang juga sedikit melengkung dengan kemasan kusam yang lembut, sedikit licin tetap masih selesa di tangan dan sedap di pegang. Di atas boleh lihat sensor infra merah, logo Harmon/Kardon, lubang mikrofon dan kekisi pembesar suara. Di bawah juga ada satu lagi kekisi, lubang mikrofon, slot kad SIM dan port USB-C. Di sisi kanan terdapat butang kawalan suara dan butang kuasa dan akhir sekali di kiri tiada apa-apa.

Peranti pula dijana dengan cip pemprosesan Snapdragon 8 Gen 1 4nm, iaitu cip dengan satu teras 3.0 GHz Cortex X2, tiga teras X 2.5 GHz Cortex A710 dan empat teras X 1.8 GHz Cortex A510 serta turut mempunyai cip grafik GPU Adreno 730. Bersama-sama dengan cip ini adalah pilihan memori 8GB RAM LPDDR5 dengan memori maya 3GB dan storan dalaman mencapai 256GB jenis UFS 3.1.

Padanan cip ini dan memori adalah antara yang terbaik, kerana ia mampu memberikan prestasi yang cukup dahsyat. pelbagai aplikasi saya buka, pelbagai cara penggunaan saya lakukan, termasuk bermain permua dan uji kamera – peranti ini mampu berjalan dengan lancar. Berbanding Realme GT2 Pro, peranti ini tidak ada masalah memanas yang serius yang menjengkelkan.

Kamera peranti pula adalah tri-kamera daripada sensor 50+13+5 Megapixel dan kamera swafoto 32 Megapixel. Berbeza dengan Xiaomi 12 Pro yang kesemua sensor kamera belakang adalah 50MP. Untuk bateri juga sedikit lebih kecil, iaitu 4500mAh dan pengecasan pantas juga berbeza iaitu 67W berwayar masih HyperCharger dan 50W untuk pengecasan nirwayar pantas.

Speaker Xiaomi 12 adalah daripada Harmon/Kardon dengan sokongan Dolby Atmos. Ia disusun untuk memberikan pengalaman audio seimbang dan imersif. Sayang sekali masih tiada sokongan IP68 untuk perlindungan daripada air, yang mana banyak pesaing sudah menawarkannya. Bateri adalah 4500 mAh dengan pengecasan pantas Mi Turbo Charge atau nama baharunya adalah HyperCharge pada kuasa 67W. Selain itu, ia turut mempunyai kuasa pengecasan pantas nirwayar 50W dan turut mempunyai sokongan pengecasan nirwayar berbalik.

Penggunaan Dan Perisian

Penat! Penat! Penat! Saya penat merayu, penat mengadu dan penat menggunakan MIUI. MIUI bukannya tidak bagus, tetapi ia menjengkelkan. Lebih-lebih lagi versi global. Pertama versi global masih penuh dengan iklan dan aplikasi gendut. Aplikasi yang tidak diingini yang boleh dibuang ini tidak menjadi masalah, cuma satu kerja tambahan untuk menyerikan talam aplikasi. Iklan ini satu isu besar, walaupun saya sudah matikan semua aplikasi dan daripada tetapan – masih ada iklan terpapar. Iklan yang terpapar bukannya iklan daripada pihak ketiga, tetapi adalah iklan untuk produk mereka sendiri.

Wallaper Carousell dan Mi Video adalah dua aplikasi dimana iklan kerap muncul dan yang paling menjengkelkan. Saya sudah berkali-kali semak, tiada iklan diaktifkan dan tiada notifikasi diaktifkan – malah sudah matikan terus dalam tetapan sistem – notifikasi masih keluar dan mencadangkan untuk saya gunakan kedua-dua ciri ini.

Masalah serius seterusnya adalah notifikasi. Kali ini yang saya sedar adalah bunyi notifikasi keluar, tetapi ikon notifikasi tidak terpapar pada kunci skrin. Ia membuatkan saya sangka hanya satu aplikasi keluarkan notifikasi banyak. Kemudian Instagram tidak keluar notifikasi tepat pada masanya, kadangkala sejurus saya terima DM dan kadangkala lambat hampir seminit.

Walaupun ada masalah, MIUI masih lagi seronok digunakan. Jika saya bandingkan dengan Mi 11, Xiaomi 12 ini mempunyai banyak perubahan bersama MIUI 13. Kemudian MIUI 13 pada peranti mercu Xiaomi adalah berasaskan Android 12 bukannya Android 11 seperti pada peranti-peranti Redmi. Walaupun tidak banyak beza dengan MIUI 12.5, penggunaan pada peranti ini masih ada rasa bezanya. Ia lebih lancar, lebih pantas dan memberikan prestasi yang memuaskan. Amat jarang berlaku lengah masa atau sistem tergendala. Sepanjang penggunaan, membuatkan saya belajar untuk tabah dengan penggunaan peranti ini. Ia juga membuatkan saya mengenali MIUI secara lebih mendalam agar lebih mudah untuk saya kendali sistem operasi ini.

Saya tidak boleh bandingkan MIUI peranti Redmi atau Poco dengan MIUI pada peranti ini. Ini kerana peranti ini adalah peranti mercu, dan Xiaomi jelas sekali memberi pengoptimasian tambahan untuk peranti mereka yang lebih premium. Menggunakan MIUI 13 Android 12 pada Xiaomi 12 adalah menyeronokkan dan boleh rasakan nilai premium. Peranti lebih murah memang boleh rasa kurangnya.

Penanda Aras

Semasa artikel pandang pertama, Xiaomi 12 telah pun menunjukkan kemampuan yang hebat untuk menerima skor yang tinggi berbanding pesaing dan juga abang sendiri, Xiaomi 12 Pro. Biasanya saya katakan skor ini adalah nombor semata-mata sahaja, dan kali ini saya ulang sama – nombor tetap nombor dan pengalaman penggunaan dunia nyata adalah benar. Dalam ujian yang saya lakukan, berikut adalah skor yang saya peroleh;

  • Geekbench 5 â€“ 1102/3458 Markah
  • Antutu 3D â€“ 966,818 Markah

Kebanyakan peranti yang dijana dengan cip pemprosesan Snapdragion 8 Gen 1 memang tiada masalah untuk digunakan dan menerima skor tinggi. Apa yang membuatkan Xiaomi 12 ini rasa hebat dan memuaskan adalah sistem penyejukan yang digunakan yang menjadi peranti tidak begitu panas walaupun sudah menjalan Genshin Impact pada tetapan tinggi dan 60FPS diaktifkan.

Cip ini juga cukup hebat dalam multi-tugasan dan bertukar antara aplikasi adalah lancar dan pantas. Xiaomi juga semakin bijak dalam pengurusan memori. 8GB RAM dan 3GB RAM maya memberikan peranti kuasa mencukupi untuk apa jua tugasan.

Telefoni Dan GPS

Cukup menarik menggunakan kad SIM Maxis pada peranti ini. Selesai sahaja tetapan, saya terus dapat akses kepada VoWiFi dan VoLTE. Ini menjadikan pengalaman panggilan telefon lebih selesa, stabil, dan suara yang jelas. Penggunaan data mudah alih juga cukup stabil dan pantas, malah menjadikan peranti ini sebagai modem untuk rumah saya juga hebat dan tiada masalah sambungan.

GPS juga tiada masalah pada peranti. Saya bawa peranti ini ke kawasan yang Internet perlahan pun masih boleh memberi arahan selok-belok dengan baik dan lancar. Baik Waze atau Google Maps, data H+ pun ia boleh berjalan lagi, apatah lagi apabila 4G+?

Kamera

Sejak tahun lepas lagi, peranti mercu Xiaomi mempunyai kemas kini kamera yang dahsyat. Daripada biasa-biasa sahaja sehingga dapat menewaskan Samsung, Xiaomi layak mendapat pujian. Kamera 50+13+5 Megapixel, kamera swafoto 32MP dan juga sistem fokus CyberFocus yang pantas – Xiaomi 12 ini akan menjadi peranti bawah RM3k dengan kamera kegemaran ramai.

Saya mulakan dengan gambar swafoto. Lihat hasil biasa dan hasil potret. Setiap sisi kemas, kesan kabur juga kemas. Wajah tidak terlampau lembut atau ada kesan kecantikan yang jelas. Warna yang dihasilkan juga adalah cantik. Butiran juga masih dipelihara untuk menampakkan kualiti tinggi daripada hasil tangkapan. Kamera 32MP di hadapan ini adalah satu kamera yang hebat.

Jarang saya temui peranti mercu bukan Pixel mempunyai kemampuan potret yang hebat. Bukan sahaja daripada kamera swafoto, kamera belakang juga mampu memberikan hasil bokeh yang hebat. Akhirnya ada peranti dapat tewaskan Pixel dan lebih spesifik adalah Pixel 6. Pasca-proses juga pantas, bermakna selepas tekan pengatup hasil imej boleh terus dilihat. Kamera utama juga mampu memberikan gambar-gambar lain dengan warna yang tajam dan jitu. Ia tidak begitu kekuningan atau ke arah warna jingga (warm) dan juga tidak terlampau kebiruan (cool). Nilai HDR tidak melampau dan AI pada kamera kali ini lebih banyak membantu.

Mod sudut ultra lebar juga cantik dan kemas. Masalah fokus tidak lagi ada kerana sistem CyberFocus tadi. Butiran yang dipaparkan adalah di luar jangkaan saya sendiri. Warna juga masih cantik di mata saya dan ia tiada kesan serotan yang melampau. Kemampun zum walau bagaimanapun agak mengecewakan kerana ia tidak mampu simpan butiran yang patut. Hasil menjadi terus kabur dan tidak boleh digunakan.

Xiaomi 12 juga dilihat mampu tapau mod malam iPhone, Samsung dan Pixel. Pasca proses sedikit perlahan, tetapi hasilnya agak baik. Cuma ada masalah AI untuk mod malam, kerana ia tidak konsisten. Walaupun masih ada sumber cahaya di kawasan yang saya ingin ambil gambar, ia masih lagi gelap. Tetapi sistem fokus dan kamera mengesan cahaya ini dan pasca-proses mod malam hanya 1-2 saat dan tidak dapat memberikan hasil yang baik selain daripada sama sahaja dengan mod auto. Tetapi apabila ia jadi, ialah yang terbaik.

Kemampuan video pada saya ia baik sahaja. 8K masih ada masalah, 4K dan FHD tiada masalah dengan fokus serta penstabilan. Tetapi peranti yang kecil dan nipis ini, cepat panas apabila merakam video pada jangka masa panjang.

Bateri

Xiaomi 12 mempunyai bateri berkapasiti 4500mAh. Ia bukanlah kecil mana dan tidaklah besar mana. Peranti ini mempunyai ketahanan masa skrin aktif SOT dengan penggunaan ringan sekitar 5-6 jam. Ini adalah menggunakan banyak aplikasi media sosial, penstriman, muzik dan kamera. Pencapaian ini hanyalah dengan mod tema gelap. Jika mod cerah, biasanya saya menerima SOT sekitar 3-4 jam tanpa bermain permua. Jika saya ada menjalankan permua, SOT maksima yang saya terima adalah 3 jam SOT.

Pada awal ini tidak menjadi masalah untuk saya kerana ada sokongan pengecasan pantas 67W HyperCharge. Ia boleh mengecas peranti daripada lemah sehingga penuh dalam masa sekitar 40 minit sahaja. Masalah yang saya rasakan berlaku adalah berpunca daripada MIUI sendiri kerana ada hari bateri tidak konsisten dan boleh bertahan sekitar 2 jam 30 minit SOT sahaja. Ini membuatkan kerja harian saya terganggu.

Pengecasan nirwayar pantas 50W pula tiada aksesori yang dijual di Malaysia membolehkan saya untuk mengujinya. Pengecasan niwayar berbalik ada, tetapi dengan ketahanan bateri yang tidak seberapa ini – Xiaomi Buds 3T Pro pun saya tidak berani caj pada belakang peranti.

Audio

Pembesar suara pada peranti mercu Xiaomi saya puji sejak Mi 11 dan Mi 11 Ultra. begitu juga dengan siri Xiaomi 11T. Dengan Xiaomi 12 ini ada sokongan Dolby Atmos dan pemacu ditala oleh Harmon/Kardon, audio yang dihasilkan adalah sungguh sedap, layan dan mengasyikkan. Paling penting adalah audionya seimbang dan membuatkan saya teruja kerana peranti kompak ini boleh mengeluarkan audio yang enak sebegini.

Saya uji dengan Apple Music yang mempunyai sokongan Dolby Atmos dan boleh dimainkan terus daripada peranti tanpa memerlukan aksesori tambahan. Muzik kegemaran saya dengarkan adalah selesa di telinga saya. Malah menonton video juga saya tidak menggunakan apa-apa aksesori lain. Xiaomi 12 berani saya katakan sudah mempunyai speaker bertaraf peranti mercu premium yang menghampiri pesaing lain yang lebih hebat.

Pesaing

Xiaomi 12Realme GT2 ProSamsung Galaxy S22
6.28-inci, AMOLED, 1080 x 2400 piksel, FHD+, 120Hz, Dolby Vision, HDR10+, ~419 ppi6.7-inci, AMOLED, WQHD+, 120Hz, 1440 x 3216 piksel, HDR10+, ~525 ppi6.1-inci Dynamic AMOLED 2X, 1080 x 2340 piksel, 120Hz, HDR10+, ~425 ppi
Snapdragon 8 Gen 1 (4nm)
1 X 3.0 GHz Cortex X2
3 X 2.5 GHz Cortex A710
4 X 1.8 GHz Cortex A510
Snapdragon 8 Gen 1 (4nm)
1 X 3.0 GHz Cortex X2
3 X 2.5 GHz Cortex A710
4 X 1.8 GHz Cortex A510
Snapdragon 8 Gen 1 (4nm)
1 X 3.0 GHz Cortex X2
3 X 2.5 GHz Cortex A710
4 X 1.8 GHz Cortex A510
Adreno 730Adreno 730Adreno 730
8GB LPDRR512GB LPDRR58GB LPDRR5
128/256 GB UFS 3.1256 GB UFS 3.1128/256 GB UFS 3.1
Kamera Utama
50+13+5 Megapixel (f/1.9+f/2.4/makro) OIS
Kamera Utama
50+50+3 Megapixel (f/1.9+f/1.9+f/2.2) OIS + EIS
Kamera Utama
50+12+10 Megapixel (f/1.8+f/2.2+f/2.4+) OIS
Kamera Hadapan
32-Megapixel f/2.5
Kamera Hadapan
32-Megapixel f/2.5
Kamera Hadapan
10-Megapixel f/2.2
Tidak kalis airTidak kalis airIP68
Tiada bicu audioTiada bicu audioTiada bicu audio
Audio StereoAudio StereoAudio Stereo
4500 mAh (Berwayar 67W)5000 mAh (Berwayar 65W)3700 mAh (Berwayar 25W)
Harga bermula RM2,899Harga RM2,999Harga bermula RM 3,499

Kesimpulan

Xiaomi 12 dari segi penggunaan jangka masa panjang, ia adalah sebuah peranti yang cukup hebat. Prestasi permua untuk peranti 8GB + 3GB RAM ini amat baik dan memuaskan. Tiada masalah memanas yang serius berlaku, skrin 120Hz yang pantas, lancar dan konsisten serta mampu memaparkan warna yang cantik dan sedap mata memandang. Audio pada peranti ini juga cukup hebat dan lantang. Walaupun ada sedikit masalah pada perisian dan ketahanan bateri, jika diambil aspek daripada harga jualan dan penawaran Xiaomi dan kemudian membandingkan dengan pesaing lain – peranti ini boleh dimaafkan dan boleh digunakan sebaiknya.

Kamera pun agak cantik dan menawan. Daripada kemampuan fokus pantas, mod potret yang lebih hebat daripada Pixel 6, serta kemampuan rakaman video yang stabil – peranti ini adalah peranti yang hebat dan antara peranti mercu premium Xiaomi yang patut semua miliki. Harga juga tidak sampai RM3000 menjadikan peranti ini amat mampu milik dalam kategorinya. Jika anda adalah pengguna Mi 11 dan inginkan kamera yang baik, Xiaomi 12 adalah peranti wajib anda tukar. Jika anda rasakan Xiaomi 11T sudah memadai, simpan duit sedikit dan beli peranti ini – ia akan jadi peranti Raya anda.


Pro

  • Skrin yang pantas, lancar dan konsisten berserta warna dan kecerahan yang hebat.
  • Kamera yang cukup hebat dalam kelasnya dengan kemampuan video yang lebih baik.
  • Pengecasan pantas 67W yang boleh cas penuh tidak sampai 50 minit.
  • Padat, kompak dan kecil di tangan – mudah untuk dikendalikan.
  • Speaker yang sedap, seimbang dan memuaskan.
  • Prestasi yang hebat lagi tidak mengecewakan.

Kontra

  • MIUI yang masih penuh iklan dan aplikasi gendut yang menjengkelkan.
  • Bateri yang tidak begitu tahan lama, berada di luar jangkaan.
  • Masih tiada sokongan perlindungan air IP68.
  • Pengecasan nirwayar 50W tiada aksesori boleh digunakan di Malaysia.

Komen ()