Sebelum ini, Honor pernah mencuri perhatian apabila memperkenalkan peranti pintar dengan rekaan seumpama iPhone. Model yang dimaksudkan adalah Honor 60 SE dan ia lengkap dengan rangkaian 5G terbina menerusi janaan cip MediaTek Dimensity 900. Bukan itu sahaja, peranti juga menawarkan skrin melengkung 120Hz, kamera utama 64-Megapixel dan bateri dengan pengecasan pantas 66W.

Terbaru, sebuah lagi peranti yang dikenali sebagai Honor Play 6T bakal diperkenalkan tidak lama lagi. Apa yang menarik perhatian adalah reka bentuk keseluruhannya juga dilihat sangat mirip dengan iPhone 12. Di mana, ia menggunakan binaan tubuh berkotak bersama skrin rata dan sisi yang membulat. Turut boleh dilihat, skrinnya sejenis berlubang dengan padanan saiz bezel yang kecil dan kamera swafoto tunggal. Bukan itu sahaja, panel belakang peranti turut menempatkan dwi-kamera dengan susunan yang sama seumpama iPhone.

Setakat artikel ditulis, tidak banyak spesifikasi berkaitan peranti yang diketahui. Namun begitu, ia dikatakan kelak menyokong cip Snapdragon 778G, di samping beberapa pilihan warna seperti merah jambu. putih serta biru. Untuk ketahui lebih lanjut, sama-sama nantikan pelancaran rasminya pada 7 April ini.
Sumber : Honor Weibo