Cari @ Amanz

Jika sebelum ini OnePlus sedia hadir dengan peranti pintar di bawah siri Nord. Kini, mereka dilihat bakal mengembangkannya untuk aksesori audio pula. Melaluinya, OnePlus Nord Buds dijangka diperkenalkan tidak lama lagi. Menguatkan lagi spekulasi, aksesori berkenaan turut telah ditemui menerusi laman FCC dan pangkalan data Bureau of Industry and Security (BIS) di India. Ia muncul dengan nombor model E505.

Rekaan dan beberapa spesifikasi pada aksesori turut telah didedahkan. Ia menunjukkan setiap fon telinga akan mempunyai bateri sebesar 41mAh, sementara itu pod pengecas pula dibekalkan bateri 480mAh. Seterusnya, ia juga menampilkan reka bentuk yang lebih padat dengan padanan fon telinga berbentuk bulat kecil yang bertangkai rata. Pod pengecas pula berbentuk segi empat dengan logo OnePlus pada bahagian atasnya. Di sini, rekaannya di sini kelihatan agak berbeza dengan beberapa penawaran fon telinga keluaran OnePlus yang sedia ada.

Setakat artikel ditulis, ini sahaja maklumat yang diperoleh mengenai fon telinga tersebut. Kewujudan informasi ini, jelas menunjukkan OnePlus berhasrat untuk melancarkannya dalam masa terdekat ini. Dari segi harga, kita boleh menjangkakan ia bakal dijual pada harga yang berpatutan. Ia berikutan siri Nord adalah permulaan era produk mampu milik buat jenama ini.

Sumber : Android Police

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd