Komputer Padat Intel Seterusnya Mungkin Dinamakan Wall Street Canyon – Dikuasakan CPU Alder Lake

Diterbitkan pada Apr 5, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Seperti yang sedia maklum, Next Unit of Computing Intel, ataupun lebih dikenali sebagai NUC ialah komputer kerdil keluaran Intel yang memperlihatkan bahawa sebuah komputer tidak perlu hadir dengan saiz yang besar untuk memperlihatkan prestasi yang berkuasa.

Setiap model komputer NUC hadir dengan nama yang unik, dan nampaknya nama NUC yang seterusnya sudah ditetapkan sebagai Wall Street Canyon. NUC ini dilihat masih akan hadir dengan rekaan yang serba padat, dan akan dikuasakan oleh pilihan CPU Intel Alder Lake yang terbaru.

Dari segi spesifikasi, NUC Wall Street Canyon ini dilihat hadir dengan penawaran CPU Intel Core i3-1220P sehingga Intel Core i7-1270P dan hadir dengan dua slot memori DDR4 dan juga satu slot SSD M.2 NVMe PCIe 4.0 untuk membolehkan pengguna menggunakan storan terpantas di pasaran sekarang.

NUC Wall Street Canyon ini dilihat hadir dengan beberapa perubahan dari segi penawaran palam. Pertama ialah penawaran dua palam USB 3.2 10Gbps Type-A di bahagian hadapan, dan dua palam Thunderbolt 4.0 di belakang. Selain daripada itu, ia juga hadir dengan dua palam HDMI 2.0b, satu lagi palam USB 3.2 10Gbps Type-A dan satu palam RJ-45 Cat5 di bahagian belakang.

Satu tambahan baru yang diperlihatkan pada NUC ini ialah slot pengembangan modular yang dikatakan boleh memuatkan pelbagai aksesori tambahan kepada NUC ini, seperti slot untuk cakera keras 2.5 inci, ataupun satu aksesori yang mengandungi pelbagai palam-palam tambahan sekiranya diperlukan.

Buat masa ini, ia tidak diketahui lagi bilakah Intel akan melancarkan NUC Wall Street Canyon ini, mahupun tanda harganya. Ia dijangka Intel akan membuat pengumuman mengenainya tidak lama lagi.

komen


© Amanz / 2022 Kami