Saya ada hampir 200 aplikasi terpasang dalam telefon pintar serta tablet yang saya gunakan. Tetapi percaya atau tidak, apa yang saya gunakan harian tidak sampai 10 pun. Saya yakin itu juga berlaku pada anda, dan apabila ingin buang aplikasi akan terasa bersalah atau terfikir eh aku masih pakai lagi app ni!.
Google akan mengubah bagaimana Play Protect melindungi peranti anda daripada aplikasi merbahaya. Ini termasuk aplikasi yang anda jarang gunakan, kerana ada potensi ia akan berjalan di latar dan menjejak anda. Untuk itu, Play Protect akan membuang kebenaran yang telah anda berikan pada aplikasi jika anda tidak menggunakan aplikasi dalam sesuatu tempoh.

Peranti dengan Android 11 dan ke atas sudah pun ada kemampuan membuang kebenaran akses kepada kamera, mikrofon dan beberapa yang lain apabila ia tidak digunakan dalam sesuatu tempoh. Tetapi pembangun aplikasi boleh memastikan aplikasi yang wajib berjalan di latar melangkaui pengesanan Play Protect agar sentiasa ada kebenaran untuk berfungsi.
Menurut analisa Statista, sebanyak 25% aplikasi dalam peranti pengguna hanya digunakan sekali sahaja selepas dimuat turun dan pasang dan kemudian langsung tidak digunakan lagi. Jadi dengan menolak kebenaran ini, ia akan menjaga keselamatan pengguna sekurang-kurangnya jika malas untuk membuang aplikasi daripada peranti.