Cari @ Amanz

Mailchimp ialah perkhidmatan email yang digunakan oleh banyak syarikat-syarikat di seluruh dunia, dan terkini, mereka telah mengesahkan bahawa sistem sokongan pelanggan mereka telah digodam, dimana ia memberi akses kepada sejumlah data pelanggan yang telah dicuri dan digunakan untuk tujuan yang jahat.

Pada Ahad lalu, Mailchimp mengeluarkan kenyataan bahawa beberapa ahli sokongan pelanggan mereka tumpas kepada serangan kejuruteraan sosial dimana akses kepada sistem pelanggan tersebut telah diberikan kepada penggodam-penggodam ini secara tidak sengaja.

Ia dianggarkan sekitar 319 akaun Mailchimp telah diakses oleh para penggodam ini, dan data pengguna daripada 102 akaun telah dicuri oleh para penggodam ini sebelum akses kepada sistem tersebut ditutup kepada mereka.

Para penggodam tersebut dilihat menggunakan butiran data yang dicuri ini untuk melakukan serangan phishing terhadap sejumlah pengguna platform kriptowang Trezor pula. Pengguna-pengguna ini disuruh untuk memuat-turun sebuah perisian hasad untuk menukar kata laluan mereka, dan dari sini, mereka mendapat akses kepada dompet-dompet kriptowang tersebut.

Mailchimp juga mengatakan bahawa semua akaun-akaun yang terkesan akibat serangan penggodam ini telahpun dihubungi, dan pertukaran kata laluan akaun telahpun dilakukan. Mereka juga menyarankan pelanggan-pelanggan mereka untuk memastikan sistem dwi-faktor diaktifkan untuk memastikan akaun mereka selamat.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd