Hyundai Mempatenkan Sistem Getaran Pada Kereta Elektrik Bagi Mengajuk Enjin Bahan Api Fosil

Diterbitkan pada Apr 5, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Kereta elektrik masih lagi baharu di pasaran dengan penggunaannya di Malaysia masih lagi kecil kerana kos yang masih tinggi serta kurangnya infrastruktur pengecasan. Di negara lebih maju ini bukan lagi masalah tetapi kebanyakan pemandu yang berpindah dari ke kenderaan elektrik (EV) dari kereta bahan api fosil (ICE) masih merindu pengalaman kereta konvensional.

Kereta elektrik terlalu senyap dan tidak memberikan tindak balas seperti bunyi enjin, pertukaran gear dan pelbagai bunyi yang lain. Untuk pemandu yang masih tidak boleh melupakan pengelaman memandu lama pada kereta EV, Hyundai mempatenkan beberapa sistem untuk mengajuknya pada kereta keluarkan mereka.

Antara sistem yang diperkenalkan ialah memberikan getaran ketika kereta tidak bergerak seperti kereta ICE semasa enjin hidup. Pada skrin kereta juga paparan RPM palsu juga boleh diberikan lengkap dengan kereta tersengguk seketika sebelum gear ditukar. Kesemua ini tidak ada pada kereta EV memandangkan ia tidak dilengkapi gear.

Toyota turut telah mempatenkan sistem transmisi maya yang seakan serupa pada kereta EV mereka. Apa yang dilakukan ini sebenarnya tidak aneh kerana jika anda ingat zaman awal antaramuka telefon pintar Apple adalah skeumorfik. Aplikasi nota kelihatan seperti buka nota kuning, kalender mempunyai imej gelung logam dan kalkulator mengajuk rekaan kalkulator Bosh. Rekaan skeumorfik kemudiannya digantikan dengan rekaan lebih rata sekarang kerana pengguna tidak lagi merindui objek fizikal.

komen


© Amanz / 2022 Kami