Cari @ Amanz

Diabetes Berjaya Dirawat Menggunakan Sistem Ultrasonik Dalam Ujian Makmal

Link Copied!

Diabetes ialah penyakit yang masih tidak boleh dirawat. Pesakit perlu bijak mengawal tahap gula dalam darah menerusi suntikan atau pam pintar yang memasukkan insulin ke dalam darah. Tetapi saintis tidak berhenti mencuba mencari rawatan yang terbaik. Di GE Research,Yale School of Medicine, UCLA, dan Feinstein Institutes for Medical Research penyelidik berjaya merawat diabetes menggunakan teknik ultrasonik tanpa bantuan sebarang jenis dadah.

Teknik rawatan rangsangan ultrasound tertumpu periferal (pFUS) menumpukan gelombang bunyi pada bahagian porta hepatis di hati bagi mengurangkan tahap glukosa dan insulin dalam darah. Saraf hepaportal yang terletak pada bahagian ini menghantar maklumat mengenai glukosa ke otak. Stimulasi menggunakan alat ultrabunyi membolehkan tubuh mengawal tahap insulin dan glukosa tanpa suntikan atau sebarang jenis dadah.

Menerusi pFUS, kesan hiperglisemia dapat dikawal apabila diuji pada tikus dan khinzir. Rawatan pFUS selama tiga minit sehari sudah mencukupi untuk mengawal tahap glukosa darah dalam ujian pra-klinikal yang telah dilakukan.

Langkah seterusnya untuk melihat sama ada rawatan pFUS turut berkesan ke atas pesakit diabetes manusia. Terdapat beberapa halangan pada waktu ini kerana rawatan memerlukan juruteknik berpengalaman untuk menggunakan alat ultrabunyi untuk merangsang kawasan spesifik porta hepatis.

Masih terlalu awal untuk mengetahui sama ada pFUS berkesan ke atas manusia tetapi rawatan alternatif lain seperti menggunakan sel tunjang turut telah dicuba untuk merawat diabetes jenis 1.


Komen ()