Cari @ Amanz

Bercakap mengenai aksesori audio, Oppo juga adalah pengeluar yang tidak asing dalam segmen berkenaan. Setakat ini boleh dikatakan terdapat pelbagai variasi aksesori audio yang ditawarkan oleh Oppo – baik dari segi neckband atau TWS. Bercakap lebih lanjut mengenainya, Oppo kini dalam perancangan untuk satu lagi aksesori audio baharu.

Dikenali sebagai Oppo Enco Air 2 Pro, rekaannya telah tertiris dalam beberapa imej tular. Melaluinya, ia menunjukkan gabungan set fon jenis dalam telinga bertangkai dan putik silikon. Pod pengecasan pula berbentuk segi empat seumpama yang digunakan pada Oppo Enco Air 2 sebelum ini. Melengkapinya, lampu LED yang mungkin berfungsi sebagai pemberitahuan indikasi tambatan berjaya atau status bateri.

Tidak banyak maklumat mengenai spesifikasi yang diketahui setakat ini. Namun begitu, ia dijangka mempunyai bateri sebesar 43mAh untuk setiap satu fon telinga. Sementara itu, pod pengecas pula dibekalkan dengan bateri 440mAh. Seterusnya, masa main balik boleh mencapai 20 jam dengan ANC yang diaktifkan, kemudian meningkat kepada 28 jam apabila ANC dinyakaktif. Tidak ketinggalan, penarafan kalis air IP54 turut disertakan, sekaligus membolehkan fon telinga ini sesuai untuk dibawa bersenam.

Fon telinga ini dijangka diperkenalkan seiring dengan Oppo F21 Pro pada 12 April ini. Bagi melihat penawaran penuhnya, sama-sama nantikan pelancaran rasminya kelak.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd