Jepun mempopularkan penggunaan bilik kapsul sebagai tempat penginapan yang kompak dan murah. Kini konsep hotel kapsul sudah berkembang ke seluruh dunia dan amat berguna bagi mereka yang ingin berehat sementara di lapangan terbang misalnya. Rekaan kapsul yang modular ini boleh dikesan asal usulnya ke Nakagin Capsule Tower yang dibina di Tokyo pada tahun 1972.

Bangunan yang cukup ikonik ini direka oleh Kisho Kurokawa yang juga antara penyokong gerakan metabolisme yang ingin menghasilkan senibina yang lebih organik. Malang sekali bagi peminat sejarah senibina, Nakagin Capsul Tower akan dirobohkan sepenuhnya pada 12 April ini selepas beberapa usaha untuk mengekalkannya gagal.
Sebahagian daripada 140 kapsul yang menjadi blok binaan seakan Lego menara ini akan digunakan semula sebagai penempatan kos rendah dan sebahagian kecil lagi akan disimpan untuk generasi hadapan.

Pelan asal Kisho Kurokawa ialah untuk menggantikan kapsul setiap 20 tahun bagi mengikuti keperluan teknologi semasa tetapi ini tidak berlaku kerana memerlukan persetujuan kesemua pemilik kapsul. Selamat tinggal Nakagin Capsule Tower.