Garmin, salah satu pengeluar yang tidak asing dalam penawaran penjejak kesihatan dan jam tangan pintar yang berkualiti. Setiap satu daripadanya mempunyai fokus dan kelebihan tersendiri yang mampu meletakkannya dalam kelas tersendiri. Terbaharu, seutas penjejak kesihatan Garmin didapati tertiris dalam perkongsian terkini WinFuture.
Dikenali sebagai Garmin Vivosmart 5, ia dikhabarkan hadir dengan skrin OLED hitam putih bersaiz besar. Menurut sumber, paparannya adalah 66% lebih besar berbanding model terdahulu. Ini sekaligus membolehkan pelbagai jenis kandungan teks dibaca dengan mudah. Bersama-sama dengannya, ia turut hadir dengan sokongan skrin sesentuh dan butang kawalan untuk kawalan yang menyeluruh.
Seperti kebanyakan penjejak kesihatan lain, ia turut dilengkapi sejumlah sensor yang memfokuskan kesihatan seperti kitaran waktu tidur, pengimbas nadi, kepekatan oksigen dalam darah, tahap tekanan, penghidratan, penjejak tapak dan sebagainya. Pada masa sama, ciri pemberitahuan kecemasan turut disokong, tetapi dengan syarat penjejak kesihatan perlu disambungkan ke telefon pintar terlebih dahulu.
Setakat diketahui, ketahanan bateri boleh mencapai 7 hari, di samping turut boleh dibawa untuk mandi mahupun berenang. Garmin VivoSmart 5 dijangka hadir dalam beberapa pilihan warna seperti hitam, putih dan hijau. Tiada maklumat mengenai tarikh pelancaran dan harga yang diketahui buat masa ini.
- Sumber : WinFuture