Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan jutaan penduduk Malaysia terpaksa berkurung di rumah dengan hanya sebilangan kecil dibenarkan keluar untuk melakukan tugas barisan hadapan. Untuk menghilangkan kebosanan yang melampau aku habiskan masa di rumah menonton Youtube. Jika sebelum pandemik aku hanya membazirkan sejam dua sahaja di YouTube setiap hari, akibat PKP ia meningkat sehingga 6-7 jam sehari.

Justeru itu Google kini mempunyai data yang lebih besar untuk menyarankan kepada aku video-video yang secara lazimnya tidak akan ditengok. Kadang kala video yang disarankan adalah amat bagus. Contohnya kerana pandemik, aku diperkenalkan kepada genre video orang memotong rumput yang semak samun di rumah, menyahsumbat paip di Korea Selatan dan pengembaraan solo di Jepun menaiki pengangkutan awam.
Sebelum pandemik ini ialah jenis video yang tak akan aku tonton kerana tidak pernah tahu akan kewujudannya (serius siapa sangka genre ini wujud?) dan tak ada masa kerana videonya panjang-panjang belaka. Aku yakin aku bukan satu-satunya manusia di dunia yang menerima saranan video-video pelik sepanjang pandemik yang lalu.
Tetapi dengan data peribadi yang terkumpul ini aku mengharapkan YouTube akan terus memberikan saranan kandungan yang relevan. Tetapi sebaliknya sejak empat bulan kebelakangan ini aku mula menerima saranan yang pelik dengan imej kecil (thumbnail ) yang berbohong kepada penonton. Contoh yang aku boleh berikan ialah seperti di bawah

Kesemua imej kecil atau lebih dikenali sebagai thumbnail yang digunakan adalah palsu dengan tujuan membuatkan anda terdetik untuk menontonnya. Ini bukan taktik baharu yang hanya wujud selepas YouTube menjadi laman penstriman video nombor satu dunia. Ia adalah taktik yang sudah wujud sejak YouTube membenarkan pemilik saluran memuat naik imej kecil sendiri.
Asal usul penggunaan imej palsu ini boleh dikesan pada zaman awal penerbitan akhbar tabloid di United Kingdom. Ilustrasi yang mengerikan digunakan oleh pemilik akhbar di Fleet Street untuk menarik minat pembaca yang kemudiannya membeli akbar. Terdapat banyak ilustrasi pembunuhan Jack The Ripper yang langsung tidak berdasarkan fakta tetapi dilukis berdasarkan fantasi kerana pemilik akhbar tahu dengan sifat manusia. Mulut kata benci tetapi hati kata suka. Imej palsu yang sensasi terbukti berjaya membuatkan orang ramai berbondong-bondong membeli tabloid yang dijual.

Kemudiannya apabila taktik ini sudah mula basi, digantikan pula dengan manipulasi gambar dalam tabloid seperti Weekly World News. Gambar toyol, raksasa laut, Big Foot, hibrid manusia berkepala babi dihasilkan menggunakan teknologi proto-Photoshop. Sekali lagi ramai terkena imej palsu yang dihasilkan puluhan tahun yang lalu sehingga kini tersebar ke Internet dan berjaya membohongi pembaca yang terlalu pembaris.
Di Malaysia teknik ilustrasi melampau yang disertakan bersama cerita keagamaan digunakan dengan cukup berkesan sekali oleh majalah Mastika, dan Hidayah suatu ketika dahulu. Mengaku sahajalah anda tak akan berminat untuk membaca cerita “Jenazah melompat ke atas” jika ilustrasinya tidak melampau dan ngeri seperti di bawah.

Masalahnya sekarang ialah penggunaan thumbnail yang membohongi penonton ini sudah mencapai tahap melampau. Tidak sampai beberapa jam selepas pemain dram Foo Fighters meninggal dunia, sudah muncul video “ini ialah kubur Taylor Hawkins”. Jelas video dengan gambar palsu ini digunakan sebagai umpan klik yang akan dapat menarik jutaan tontonan sebelum penonton menyedari kandungan yang dipaparkan adalah falasi semata-mata.
Sejak dua minggu kebelakangan ini pula muka depan YouTube dibanjiri pula dengan video-video kes mahkamah Johnny Depp dan Amber Heard. Wajah Jason Momoa diletakkan dalam imej kecil sedangkan beliau tidak muncul di mahkamah langsung. Perkara yang sama berlaku setiap kali tular isu gosip besar seperti Will Smith menampar Chris Rock. Taktik tabloid ini memang berjaya kerana video-video berjaya mendapat jutaan tontonan dalam masa sehari.

Aku ingin percaya bahasa orang dewasa yang mumayyiz dapat membezakan antara fakta dan fiksyen tetapi berdasarkan jumlah mesej palsu yang disebar menerusi media sosial sekarang oleh golongan yang berusia, kepercayaan ini sudah tergugat. Lebih merisaukan ialah apakah impak kandungan seperti ini pada golongan kanak-kanak yang mudah percaya kerana masih belum menyedari tak semua yang ada di Internet adalah benar?
Dua dekad lalu anda perlu membeli akhbar tabloid dan majalah dengan berita tahyul untuk membaca. Wujud penghalang di sini kerana ia perlu dibeli sebelum minda dirosakkan dengan kandungan sampah seperti “Saya Isteri Maharaja Jin Gunung Korbu” atau “Meteor KH1000 Akan Musnahkan Bumi Pada Tahun 2024”.

Sekarang buka aplikasi YouTube dan muka hadapan aplikasi akan didominasi oleh kandungan seperti ini tanpa perlu melakukan bayaran. Tiada “barrier to entry” ke alam sampah kecuali membayar data selular.
Apa yang kita belajar sepanjang pandemik ialah kandungan berita palsu dan penuh konspirasi bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan. Kajian Andrew Wakefield mengenai kaitan vaksin MMR dan autisme menjadi tiang seri kepada gerakan anti vaksin global walaupun telah dibuktikan menggunakan data yang dipalsukan untuk mendapatkan keputusan yang diinginkan.
Kerana beliau penyakit difteria yang sepatutnya sudah pupus kembali wujud di Malaysia mengorbankan puluhan nyawa kerana ibu bapa enggan memberikan vaksin yang diberikan percuma. Entah berapa ramai pula terkorban sepanjang pandemik ini di Malaysia kerana turut enggan mendapatkan vaksin Covid-19.

Untuk mengharapkan Google melakukan sesuatu bagi mengawal penyebaran berita palsu adalah impian yang kurang bijak. Mereka tidak mempunyai kakitangan yang cukup untuk menapis setiap kandungan dengan tumpuan diberikan kepada kandungan bahasa utama dunia sahaja dan Bahasa Malaysia bukan di tahap kepentingan tinggi.
Jika anda seorang ibu bapa atau penjaga, silalah pantau apa yang boleh diakses oleh anak-anak bawah umur pada telefon pintar mereka. Google dan Apple mempunyai pelbagai ciri terbina untuk memudahkan pemantauan dan menghalang kandungan-kandungan sampah berbahaya ini. Di Amanz kami sudah terbitkan tutorial mudah mengawal peranti anak menerusi pautan di bawah.

Jika ada masa tonton sekali bersama anak kandungan mereka seperti mana ibu bapa kita lakukan semasa kita membesar. Dunia semakin mencabar dan kegagalan untuk bersedia adalah persediaan untuk gagal.