Cari @ Amanz

Anker Mengumumkan Pencetak 3D Pertama Mereka – AnkerMake M5 Melalui Kickstarter

Oleh Nazrin

Link Copied!

Anker, sebuah jenama yang cukup terkenal untuk aksesori peranti pintar mereka, khususnya power bank baru-baru ini dilihat telah memasuki arena teknologi baru dengan mengumumkan bahawa mereka sedang membangunkan pencetak 3D pertama mereka.

Anker sekali lagi menggunakan platform biayasama Kickstarter untuk memperkenalkan projek ini, dimana Anker menamakan pencetak 3D mereka AnkerMake M5 yang bukan sahaja hadir dengan rekaan serba moden, tetapi juga hadir dengan satu fungsi menarik yang mana ia hadir dengan webcam terbina untuk membolehkan anda bukan sahaja melihat cetakan yang sedang dilakukan, tetapi juga sebagai satu cara untuk pencetak ini menghentikan proses sekiranya cetakan tidak seperti yang sepatutnya dilakukan.

AnkerMake M5 ini juga hadir dengan binaan yang memudahkan pengguna untuk memasangnya. Pengguna hanya perlu memasang dua bahagian, memasang dua kabel USB, palam kuasa dan ia boleh digunakan secara terus tanpa perlu menentukur sebarang tetapan terlebih dahulu.

Kelebihan utama AnkerMake M5 ini juga, menurut laman Kickstarter mereka, ialah ia mampu mencetak objek 3D pada kadar 250mm/s, yang dikatakan lima kali lebih pantas berbanding dengan kebanyakan penawaran pencetak 3D pada harga yang sama di pasaran ketika ini.

Ini adalah kerana AnkerMake M5 hadir dengan lebih banyak komponen yang memastikan bahawa mesin pencetak ini kekal stabil walaupun ia sedang mencetak pada kadar tersebut. Malah, Anker mengatakan bahawa kadar cetakan 250mm/s tersebut adalah tetapan kelajuan lalai mesin pencetak ini, dan sekiranya dikalibrasi, mungkin boleh digunakan untuk mencetak objek dengan lebih laju lagi.

Anker turut mengatakan bahawa mesin pencetak AnkerMake M5 ini akan hadir dengan tanda harga pengenalan $429 melalui Kickstarter, tetapi apabila ia dijual secara komersil kelak, tanda harga pencetak tersebut mungkin akan meningkat ke $759.


Komen ()