Cari @ Amanz

Jika anda memiliki sebuah komputer yang dikuasakan oleh kedua-dua komponen CPU dan juga kad grafik keluaran AMD, anda pasti tahu bahawa AMD telah memperkenalkan ciri melewahjam kedua-dua komponen menggunakan perisian Radeon Adrenalin. Fungsi ini membolehkan anda melewahjam kedua-dua komponen CPU dan GPU sekaligus, meningkatkan prestasi komputer anda untuk pelbagai tujuan.

Terkini, kemaskini perisian untuk kad grafik AMD Radeon terbaru didapati mengubahsuai tetapan CPU pada tahap BIOS komputer pengguna, dan ini menyebabkan komputer tersebut akan mula melewahjam CPU AMD terbina tanpa pengetahuan pengguna.

Secara teknikalnya, semua CPU AMD boleh dilewahjam tanpa masalah, tetapi secara lazimnya, pengguna sendiri akan melakukannya apabila diperlukan. Lewahjam automatik tanpa pengetahuan pengguna secara lazimnya bukanlah sesuatu yang baik, kerana komputer tersebut mungkin tidak hadir dengan bekalan kuasa dan kuasa penyejukan yang mencukupi untuk memastikan CPU tersebut beroperasi pada tahap optimum.

Isu seperti Black Screen of Death ataupun lebih teruk lagi, kerosakan fizikal pada cip CPU kerana suhu yang terlalu panas boleh dilihat antara isu yang boleh berlaku kepada sesebuah komputer sekiranya proses lewahjam dilakukan tanpa persediaan yang rapi.

AMD dilihat sedar akan isu ini, dan sedang mengeluarkan kemaskini baru untuk memperbaiki masalah tersebut. Jika anda tidak mahu menunggu, anda boleh memuat-turun perisian Radeon Software Slimmer untuk membuang fungsi Ryzen Master SDK daripada Radeon Software anda untuk mengelakkan isu ini.

Akan tetapi ia perlu dinasihati bahawa perisian ini adalah perisian parti ketiga dan mungkin mendatangkan kemudaratan kepada komputer anda, jadi saranan kami ialah untuk menggunakannya dengan was-was.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd