Sebelum menggunakan sebuah platform media sosial, pastikan terlebih dahulu ianya selamat dari sebarang bentuk serangan. Anda tidak mahu mempunyai akaun dengan 1 juta pengguna di masa hadapan yang kemudiannya dicuri dan diubah menjadi akaun promosi kripto haram secara tiba-tiba. Aktifkan dahulu ciri pengesahan dua faktor dengan segera.
1.Aktifkan pengesahan identiti dua faktor (2FA)
Pergi ke Settings and privacy > Security and account access > Security > Two Factor authentification. Untuk menggunakan ciri ini anda terlebih dahulu perlu mengesahkan nombor telefon yang ingin digunakan bagi menghantar kod setiap kali melakukan log masuk akaun. Mungkin sedikit menyusahkan setiap kali aplikasi dipasang tetapi sukar sementara lebih baik berbanding akaun dicuri kerana sistem keselamatan yang lemah. Pada tetapan yang sama ciri mengetatkan lagi proses menukar kata laluan juga boleh diaktifkan. Kod yang dihantar menerusi SMS dan emel diperlukan sebelum kata laluan boleh ditetapkan semula.
2.Buang akses dari aplikasi pihak ketiga
Satu lagi perkara yang perlu dilakukan bagi mengelakkan akaun dirampas atau digodam dengan mudah ialah menghalang akses aplikasi pihak ketiga. Ramai pengguna mungkin terlupa akses kepada akaun Twitter yang diberikan kepada aplikasi pihak ketiga. Pergi ke Settings and privacy > Security and account access > Apps and sessions > Connected apps. Buang akses pada aplikasi yang mungkin tidak diperlukan. Lakukan ini mungkin sebulan sekali sebagai langkah keselamatan.
Pada waktu yang sama anda boleh log keluar dari kesemua peranti lain menerusi Settings and privacy > Security and account access > Apps and sessions > Sessions > Log out of all other sessions. Ciri ini amat berguna sekiranya anda melihat akaun dilog masuk pada peranti yang tidak dikenali. Sekaligus kesemua sesi kecuali pada peranti yang digunakan sekarang akan dihalang. Tiada tangkapan layar untuk ciri ini kerana ianya dihalang oleh Twitter atas seban keselamatan
3.Tapis Mention dan DM yang diterima
Twitter mempunyai masalah akaun bot dan askar siber yang tugasnya hanya membuang masa anda. Antara bot yang paling menyakitkan hati ialah yang mempromosikan skim kripto dan Abu Qasim yang mendakwa dirinya Imam Mahdi. Jika anda ingin menggunakan Twitter dengan aman kami sarankan anda mengaktifkan ciri menapis Mention dan mesej peribadi (DM) secepat mungkin.
Aktifkan tapisan untuk mengelakkan mesej dari akaun yang masih menggunakan avatar lalai, emel yang belum disahkan dan telefon tidak disahkan dari muncul dengan pergi ke Settings and privacy > Privacy and safety > Mute and block > Muted notifications. Terdapat juga pilihan untuk tidak melihat mesej dari akaun yang anda tidak ikut, akaun yang tidak mengikuti akaun anda dan akaun yang baru sahaja dibuat. Kesemua ini adalah jenis tapisan mesej yang diberikan oleh Twitter.
Menerusi Settings and privacy > Privacy and safety > Direct messages pula anda boleh menghalang DM dari akaun yang tidak anda ikuti. Secara lalai ia tidak diaktifkan kepada semua. Jika diaktifkan terdapat tapisan tambahan untuk menghalang mesej dari akaun berkualiti rendah yang secara lazimnya menghantar spam.
4.Mengunci Akaun
Anda sekarang sudah separuh jalan untuk menjadi seorang Tokan Twitter. Tetapi mungkin anda secara tidak sengaja telah menghantar ciapan yang sangat kontroversi yang mengatakan kumpulan K-Pop terutamanya BTS adalah bosan dan BTS Army adalah sekumpulan orang gila. Akibatnya akaun anda kini diserang akaun-akaun BTS Army yang bertindak balas eksoterma mirip magnesium tersentuh air. Sebelum serangan menjadi semakin teruk, kunci akaun anda segera bagi mengelakkan akaun anda mendapat perhatian lebih teruk dari BTS Army.
Pergi ke Settings and privacy > Privacy and safety > Audience and tagging > protect your Tweets. Kini akaun akan dikunci dan hanya mereka yang mengikuti akaun anda boleh membaca ciapan yang dihantar. Pengguna lain yang ingin mengikuti akaun perlu disahkan secara manual oleh pemilik akaun satu persatu. Pada tetapan yang sama anda boleh mengaktifkan tetapan membenarkan siapa boleh tag gambar anda dimatikan, hanya akaun yang diikuti atau sesiapa sahaja. Tetapan yang kami sarankan ialah matikan sahaja.
5.Mengehadkan Siapa Boleh Membalas Ciapan
Anda sudah belajar dari kesilapan lalu ter-caci golongan stans K-Pop. Mereka rakus, kejam, fanatik dan mempunyai 4000 jam sehari untuk menghancurkan reputasi anda kerana anda tidak bersependapat. Anda kini ingin berhati-hati sebelum memberikan pendapat yang mungkin dipenuhi kontroversi. Bagi mengelakkan mention dipenuhi lagi dengan cacian kami sarankan anda aktifkan tapisan siapa yang boleh membalas ciapan.
Selepas menulis ciapan sila tekan pula ikon bumi di bucu kiri tingkap mengarang ciapan. Terdapat pilihan menghalang semua orang dari menghantar ciapan balas, hanya membenarkan mereka yang anda ikuti membalas dan membenarkan semua orang memberikan pendapat percuma yang tidak dipohon.
6.Menyorokkan Komen Pada Ciapan
Katakanlah anda terlupa untuk melakukan langkah di atas dan kini diserang lagi di ruangan komen. Jangan panik kerana anda sebenarnya boleh mengaktifkan ciri di atas pada ciapan-ciapan lama. Tekan butang menu tiga titik pada bucu atas kanan ciapan yang ingin diubah tetapannya dan kemudian memilih Change who can reply. Katakanlah anda sekadar mahu menyorokkan komen tertentu sahaja ini juga boleh dilakukan dengan mudah. Pergi ke komen yang ingin disorok. Tekan menu tiga titik ciapan tersebut dan pilih Hide reply.
7.Muat Naik Video Dan Gambar Beresolusi Tinggi
Tokan sebenar memuat naik video dan gambar pada resolusi tertinggi kerana majoriti pengguna Twitter tidak menggemari gambar yang nampak seperti diambil menggunakan Nokia 3210. Lebih-lebih lagi jika anda seperti kami memuat naik sampel kamera dari peranti yang sedang diuji. Barulah adil sedikit ketika membandingkan kemampuan kamera. Secara lalai ciri memuat naik gambar dan video pada resolusi tinggi tidak diaktifkan. Untuk menggunakannya mudah sahaja.
Pergi ke Settings and privacy > Accesibility, display and language > Data usage. Berdasarkan pilihan yang diberikan anda boleh memilih untuk memuat naik gambar pada resolusi tinggi ketika menggunakan WiFi sahaja misalnya atau sepanjang masa. Ambil pilihan terbaik berdasarkan akses sambungan Internet anda. Pada waktu yang sama pada skrin yang sama pengguna boleh mengaktifkan mod penjimatan penggunaan data jika anda mempunyai kuota data yang rendah.
8.Muat Naik Gambar Dengan Amaran
Kadang kala anda ingin memuat naik gambar yang mungkin tidak sesuai untuk golongan bawah umur atau boleh mengganggu sensitiviti golongan tertentu. Bagi mengelakkan anda terpicu golongan ini, ada baiknya anda proaktif dengan memberikan amaran pada gambar yang ingin dimuat naik. Karang sebuah ciapan baharu kemudian pilih gambar yang ingin disertakan sekali.
Pada imej kecil gambar tekan menu tiga titik pada bucu bawah kanan. Pada tingkap baharu pergi pula ke ikon bendera yang juga di bawah bicu bawah kanan. Terdapat pilihan untuk kategori imej kejam, sensitif atau manusia tidak berpakaian. Apabila ciapan dihantar imej ini akan dikaburkan sehinggalah ia ditekan sendiri oleh mereka yang masih ingin melihatnya.
9.Jangan Gunakan Pelayar Web Terbina Twitter
Perkara paling kami tidak gemar mengenai Twitter ialah secara lalai semua pautan URL akan dibuka menggunakan pelayar web terbina. Kami lebih suka jika ia dibuka pada pelayar web telefon pintar seperti Chrome. Anda sebenarnya boleh mengubahkan jika menggunakan peranti Android. Pergi ke Settings and privacy > Accesibility, display and language > Display > Web browser > Use in-app browser. Nyahaktifkan pilihan menggunakan pelayar web terbina dan kini setiap URL akan dibuka di pelayar web pilihan anda pada peranti.
10.Padam Semua Tweet Lama
Anda sudah menggunakan Twitter selama 10 tahun. Anda kini sudah dewasa dan mungkin tidak mahu ciapan-ciapan lama anda dijadikan peluru untuk memusnahkan masa depan anda. Kita semua tahu majikan kini melakukan carian di media sosial terlebih dahulu sebelum mengambil pekerja baharu. Malang sekali Twitter tidak mempunyai ciri memadam kesemua ciapan-ciapan lama. Jika mahu bermula semula dari sifar anda boleh menggunakan aplikasi Redact pada Android, Windows, Mac dan Linux.
Kami sarankan proses memadam kesemua aplikasi dilakukan pada sebuah komputer kerana anda perlu memuat naik arkib kesemua ciapan anda dalam bentuk ZIP. Muat turun kesemua data Twitter terlebih dahulu menggunakan Settings and privacy > Your account > Download an archive of your data. Selepas dipohon Twitter akan mengambil masa beberapa hari sebelum memberikan anda pautan fail dalam format ZIP.
Dari Redact, log masuk ke akaun Twitter dari pilihan pelbagai platform sosial yang diberikan. Kemudian pergi ke tab Delete From File. Cari pilihan untuk Import Data Package dan muat naik fail ZIP yang dimuat turun tadi. Kemudian lakukan keperincian ciapan apa yang ingin dipadam, kata kunci, tagar dan julat tarikh. Terdapat juga ciri memadam DM dan Likes sahaja. Kemudian biarkan Redact melakukan kerja.
Dari pengalaman peribadi proses memadam semua ciapan boleh mengambil masa seminggu kerana aplikasi perlu dijalankan sepanjang masa. Ini cara paling percuma. Terdapat perkhidmatan berbayar lain yang boleh melakukan perkara yang sama dengan harga juga pelbagai.