Rokok elektronik atau lebih popular dipanggil vape sebenarnya sama sahaja bahayanya kepada kesihatan penggunanya. Pelbagai kajian terkini mendapati kerosakan kekal boleh berlaku pada paru-paru pengguna. Menyedari hakikat ini kerajaan mula memperketatkan undang-undang serta memastikan setiap rokok elektronik yang dijual melepasi piawaian SIRIM. Terkini kerajaan Kelantan bercadang untuk mewujudkan undang-undang melarang golongan remaja 17 tahun ke bawah dari menggunakan rokok elektronik.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri Dr Izani Husin berkata pelaksanaan larangan itu adalah pada mereka yang lahir selepas 1 Jan 2005. Hasrat kerajaan Kelantan ini selari dengan hasrat kerajaan pusat yang ingin mengharamkan penggunaan rokok elektronik dan rokok bagi mereka yang dilahirkan selepas tahun 2005.
Langkah drastik ingin diambil oleh kerajaan kerana penggunaan produk tembakau jelas berbahaya kepada kesihatan dengan pelbagai penyakit boleh dikesan puncanya kerana penggunaan produk tembakau. New Zealand ialah negara terawal yang mengambil langkah ini dan Malaysia perlu menyusuli bagi mengurangkan beban kepada sistem kesihatan negara di masa hadapan.