Cari @ Amanz

Monitor Gaming Acer Predator X28 Dan Nitro Terkini Kini Di Malaysia Dengan Harga Bermula RM899

Oleh Nazrin

Link Copied!

Acer Malaysia hari ini mengumumkan bahawa mereka membawa masuk sejumlah paparan skrin pada pelbagai paras tanda harga untuk mereka yang mahu pengalaman gaming yang terbaik, ataupun mereka yang mahukan sebuah paparan bersaiz besar yang boleh digunakan untuk manfaat produktiviti.

Pertama ialah Predator X28 yang menggunakan panel Agile-Splendor IPS bersaiz 28 inci. Ia hadir dengan resolusi 4K dan mempunyai sudut pandang 178 darjah dan kadar segar semula yang boleh dilewahjam sehingga 152Hz. Dari segi kejituan warna, ia boleh memperlihatkan 90 peratus gamut warna DCI-P3 dan juga mempunyai sokongan untuk teknologi paparan VESA DisplayHDR 400.

Bagi mereka yang mahukan paparan yang lebih besar, tetapi tidak memerlukan begitu banyak fungsi tambahan, Acer Nitro EI322QURP dan Acer Nitro XZ306CX mungkin memenuhi keperluan anda dimana model Nitro EI322QURP hadir dengan panel VA bersaiz 31.5 inci dan resolusi QHD dengan kadar segar semula 165Hz.

Model XZ306CX pula menggunakan panel VA yang sama pada saiz 29.5 inci dengan rekaan ultra-lebar pada resolusi Full HD dan juga kadar segar semula 200Hz. Menariknya kedua-dua paparan ini hadir dengan kejituan yang agak tinggi juga,dimana ia mampu memaparkan 93 peratus daripada gamut warna DCI-P3.

Kedua-dua paparan skrin Nitro ini juga menyokong teknologi paparan AMD Radeon FreeSync 2 dan AMD FreeSync Premium yang mengurangkan isu screen-tearing yang berlaku apabila output grafik dari kad grafik tidak selari dengan paparan skrin.

Jika anda sedang mencari sebuah paparan bersaiz besar pada harga lebih mampu milik, Acer CB292CU mungkin untuk anda. Paparan 29 inci ini menggunakan paparan skrin IPS ini hadir dengan resolusi Full HD dan juga kadar segar semula 75Hz dengan kebolehan untuk memperlihatkan 99 peratus gamut warna sRGB.

Kesemua paparan-paparan skrin ini sudahpun mula dijual di pasaran tempatan pada harga-harga berikut, termasuk waranti 3 tahun:

  • Predator X28 – RM3699
  • Acer Nitro EI322QURP – RM1299
  • Acer Nitro XZ306CX – RM1299
  • Acer CB292CU – RM899

Komen ()