Biarlah orang ramai nak kata apa mengenai sistem pembayaran pada gedung aplikasi. Epic bergaduh dengan Apple, Google bekerjasama dengan Spotify dan macam-macam lagi. Apa yang penting, kita berbelanja mengikut kemampuan serta jangan lupa untuk mengukur dompet pada badan sendiri. Saya ingat lagi, awal-awal menggunakan telefon pintar – langsung tidak pernah terfikir mengenai aplikasi yang perlu dibeli atau yang perlu dilanggan. Buka telefon, muat turun dan guna sahaja tanpa berfikir panjang.
Sekarang ada macam-macam, sama anda inginkan kandungan premium, membuang iklan, menyahkunci ciri tambahan dan banyak lagi kerana pembangun inginkan wang daripada anda untuk meneruskan kehidupan. Mana taknya, kadangkala butang sumbangan yang disertakan dalam aplikasi mereka ada sahaja yang tidak pernah beri seikhlas hati. Mana ada benda yang benar-benar “percuma” di dunia sekarang.
Baiklah, berbalik kepada berbelanja mengikut kemampuan. Dengan banyak aplikasi yang mula meminta pembayaran ini – kita sebagai pengguna bijak haruslah tahu bagaimana untuk mengawal nafsu dalam membeli atau melanggan. Lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan yang mulia ini, kita dididik untuk mengawal nafsu serta kita juga diajar daripada kecil untuk bijak berjimat dan tidak membazir.
Dalam artikel ini saya akan kongsi kepada anda bagaimana untuk kawal perbelanjaan pada peranti Android dengan mudah. Perlu diingatkan, ini hanyalah untuk peranti Android dengan GMS – kerana ciri yang akan anda gunakan sudah sedia terbina pada gedung aplikasi Google Play.
Pertama sekali kenal pasti aplikasi yang anda bayar sekali jalan, kerap bayar seperti membeli gem di dalam permua dan yang perlu dilanggan secara mingguan, bulanan dan sebagainya. Tarik nafas dalam-dalam dan tentukan pula mana yang keperluan dan wajib dan mana satu yang kehendak mengikut nafsu serakah anda semata-mata.
Jika aplikasi itu adalah penting, misalnya untuk kerja saya menggalakkan anda mengambil langganan secara tahunan jika ada – kerana pakej ini biasanya lebih murah berbanding membayar setiap bulan. Contoh dalam akaun saya ini adalah Google One 2TB, aplikasi suntingan Picsart atau aplikasi muka jam Facer. Untuk melihat ini tekan gambar profil anda di gedung Play, tekan Bayaran & langganan (Payments & subscriptions) dan pilih Langganan (Subscriptions). Dalam ini juga jika anda rasa sudah tidak ingin langgan, anda boleh hentikan langganan misalnya anda hanya mencuba untuk tujuh hari. Jika ada banyak, hentikan langganan mana yang tidak patut dan bayangkan masa depan anda.
Untuk yang sekali bayar, yang bukan jenis langganan anda perlu tekan Budget & history atau Belanjawan & sejarah. Di dalam ini ia akan menyenaraikan segala apa yang pernah anda beli (termasuk langganan). Tidak kiralah aplikasi, belian dalam aplikasi, buku atau filem – semuanya di sini. Anda boleh lihat berapa banyak anda telah habis, yang mana duit itu sepatutnya diberikan sebagai duit raya untuk ibu bapa, adik-beradik, anak buah atau saudara-mara.
Untuk menyelamatkan diri anda, di dalam bahagian ini anda boleh tetapkan bajet bulanan anda untuk dibelanjakan ke sistem pembayaran gedung Play. Tekan Tetapkan belanjawan (Set budget), masukkan nilai maksima yang anda boleh lakukan setiap bulan – contoh saya adalah saya tetapkan maksima RM150 sebulan.
Jika anda sudah capai satu tahap belanja, Google akan memberi notifikasi memberi peringatan yang belanja bulanan anda sudah capai hadnya. Di sini anda perlu berdisiplin, kerana Google membenarkan anda untuk terus berbelanja atau halang terus sesuatu pembayaran itu.
Saya sudah guna ciri ini sejak ia awal diperkenalkan. Saya banyak menyokong filem asli, membeli permua, dan menyahkunci ciri eksklusif untuk sesuatu aplikasi dan kadangkala saya perlu ingat diri ini – duit perlu disimpan untuk kegunaan masa hadapan. Kita tidak tahu apa yang akan berlaku dan haruslah mendisiplinkan diri dan kawal daripada keinginan dan hanya belanja untuk keperluan.
Ayuhlah sama-sama kita mengamalkan amalan berjimat-cermat ini.